HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Februari 2011

Najib minta pakar agama main peranan

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pakar-pakar agama memainkan peranan untuk menangani penyebaran fahaman pluralisme yang boleh menggugat akidah umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, walaupun perkara ini masih terhad dan terbatas dalam kalangan tertentu sahaja, tetapi ia perlu ditangani segera bagi mengelakkannya daripada merebak, mengelirukan dan menyesatkan umat Islam.

Najib berkata demikian kepada pemberita pada majlis multaqa guru takmir seluruh negara di sini semalam ketika diminta mengulas mengenai dakyah hedonisme, pluralisme dan liberalisme yang dilihat menjadi ancaman baru di kalangan umat Islam.

“Ini tanggungjawab yang patut diberikan kepada guru-guru takmir dan guru-guru agama termasuk di peringkat Jakim, Mufti dan imam-imam masjid untuk terangkan kedudukan yang sebenarnya dari segi akidah.

“Kita menghormati agama lain dan agama lain ada haknya dari segi undang-undang dan perlembagaan negara tapi tidak boleh sama dari segi akidahnya. Itu yang kita nak terangkan.

“Jangan salah faham pula. Nanti ada orang salah faham dan mengatakan saya menidakkan dan merendah-rendah kedudukan agama lain. Tidak...saya tidak. Saya cuma bezakan dari segi akidah sebab kefahaman pluralisme ini salah dari segi agama kita (Islam). Perkara itu yang saya nak sebut di sini. Kita harap masyarakat faham dan ini mesti dijelaskan kepada umat Islam,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata adalah menjadi tanggungjawab pengamal-pengamal agama Islam untuk menegakkan kebenaran agama berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah.

Katanya, sejak akhir-akhir ini penyebaran dakyah hedonisme yakni terlalu terbawa-bawa soal duniawi dan hidup bebas, dan gaya hidup liberalisme dan pluralisme muncul sebagai ancaman baru di kalangan umat Islam.

“Kita berharap kalau ada pihak yang katakan bahawa semua agama itu sama saja kebenarannya di sisi Tuhan, itu merupakan satu kesalahan dari segi akidah. Apatah lagi kalau ada umat Islam yang bawa kefahaman pluralisme ini, itu lebih bahaya kepada umat Islam,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan: