SHAH ALAM : Kempen pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Merlimau dan Kerdau semakin hangat apabila ada sebahagian penyokong Umno-BN yang bertindak agresif sehingga merosakkan kenderaan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menyifatkan keadaan tegang seperti membaling batu ke arah kereta pemimpin Pakatan Rakyat, yang berlaku di Merlimau dan Kerdau hanyalah satu taktik Umno-BN untuk memberi tekanan dan provokasi.
Namun beliau menegaskan, tindakan tersebut sedikitpun tidak melunturkan semangat perjuangan bagi meneruskan kempen di kedua-dua kerusi berkenaan.
"Tindakan seperti ini amat dikesali dan dilihat Umno-BN sangat terdesak dan terterkan dalam mengekalkan kemenangan dan sanggup melakukan tindakan ganas ini.
" Di Merlimau sekarang keadaan agak tegang sedikit kerana kita syak penyokong Umno-BN menggunakan kekerasan dengan membaling batu ke kereta-kereta yang dimiliki pemimpin-pemimpin Keadilan. Beberapa kereta AMK dibaling batu termasuk kereta saya. Terbaru kereta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar juga dibaling dengan objek yang keras dan kuat hingga merosakkan keretanya,"jelas Shamsul.
Ekoran kejadian itu, beliau menegaskan pihaknya akan membuat laporan polis berhubung kejadian membaling batu sehingga merosakkan kereta beberapa pemimpin termasuk kereta Ketua Umum.
"Saya akan membuat laporan polis esok dan dalam masa yang sama akan mengadakan pertemuan dengan ketua polis dan memaklumkan perkara ini.
"Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku di Melaka ini, terutama dua tiga hari mendatang ini saya jangka jauh lebih panas kerana kita memberi saingan yang hebat kepada umno. kaedah samseng ini digunakan bertujuan untuk menakut-nakutkan penyokong kita dan saya harap perkara ini tidak akan berpanjangan. Mudah-mudahan polis akan bertindak dan keadaan akan kembali terkawal,"katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan