HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 April 2011

Gapena: Kaum India guna formula Interlok pertikai Kamus Dewan


Kamus Dewan
KUALA LUMPUR — Gabungan Penulis Nasional (Gapena) percaya pertikaian terbaru masyarakat India terhadap Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ekoran kejayaan mereka mendesak Putrajaya meminda novel kontroversial Interlok yang digunakan sebagai buku teks sastera.

Setiausaha Gapena, Prof Madya Zainal Abidin Borhan berkata, tindakan terbaru masyarakat India itu sudah dijangka selepas Putrajaya bersetuju meminda novel Interlok, yang didakwa menyinggung perasaan dan sensitiviti kaum itu.

Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain mendapat tentangan hebat banyak pihak termasuk masyarakat India kerana didakwa mempunyai banyak elemen yang menyentuh sensitiviti kaum itu.

Ekoran desakan itu Kementerian Pelajaran memutuskan untuk meminda elemen-elemen tersebut.

Novel asal Interlok diterbitkan bersama oleh DBP manakala edisi murid oleh agensi Kementerian Pelajaran itu sendiri.

Panel bebas mengesyorkan lebih 100 pindaan ke atas edisi murid bulan lalu dan ia diterima Kementerian Pelajaran.

“Ini semua lanjutan daripada novel Interlok dan tindakan terbaru ini memang sudah dijangkakan,” kata beliau lagi.

“Setiap kamus ada entri-entri perkataan yang merujuk kepada konteks atau budaya satu-satu masyarakat atau kaum. Jadi seperti Kamus Dewan, ia sudah ditakdirkan dan tidak perlu dipertikaikan,” kata Zainal Abidin kepada The Malaysian Insider.

Tegas beliau, perkataan yang didakwa menyinggung masyarakat India turut terkandung dalam kamus-kamus bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris.

Justeru kata Zainal Abidin, mengapa hanya Kamus Dewan yang harus dipertikaikan manakala kamus-kamus bahasa lain tidak.

“Sebagai contoh perkataan paria dan kasta itu ada dalam kamus-kamus bahasa lain, malah ia digunakan dalam kamus di peringkat global.

“Jadi mengapa hanya Kamus Dewan dipertikaikan dan didakwa menyinggung kaum India. Saya juga tidak faham apa konsep yang mengatakan Kamus Dewan menyinggung perasaan mereka... atas konsep apa mereka kata begitu,” katanya.

Justeru kata beliau, Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan kerana ia hanya mengandungi entri-entri perkataan dan bukan untuk menyinggung perasaan kaum lain.

Malah tegas Zainal Abidin, Kamus Dewan telah digunakan sejak sekian lama sebagai panduan dan rujukan Bahasa Malaysia.

“Kita perlu kematangan dan berjiwa besar untk uruskan perkara ini. Kalau kita anggap kamus mengandungi entri perkataan menyinggung satu-satu kaum, maka ia akan jadi begitu tapi kalau kita lihat secara meluas dan matang ia bukan bertujuan untuk menyinggung sesiapa.

“Sebab itu bagi saya Kamus Dewan tidak perlu digugurkan dan perkataan yang didakwa menyinggung kaum India juga tidak perlu digantikan.

“Jadi Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan, kenapa tak pertikaikan kamus-kamus bahasa lain yang turut mengandungi perkataan yang kononnya menyinggung kaum India,” tegasnya.

Ditanya sama ada Kamus Dewan harus dilihat dari sudut pandangan orang Melayu, Zainal Abidin berkata “ia harus dilihat begitu sebab ia adalah kamus orang Melayu.”

“Saya ingat kalau ia (Kamus Dewan) adalah kamus (orang) Melayu begitulah maksudnya, kalau kamus Mandarin dan Tamil ia juga perlu dilihat dari sudut pandang kaum itu.

“Perkataan-perkataan dalam Kamus Dewan ini sudah menjadi konsep dan ia bukan melambangkan sesuatu kaum,” katanya.

Sebelum ini, MIC menggesa Kementerian Pelajaran dan DBP agar mengambil kira sensitiviti kaum dalam menerbitkan Kamus Dewan.

Timbalan presidennya, Datuk Dr S Subramaniam berkata kerajaan perlu mempertimbangkan sensitiviti kaum dalam setiap dasarnya sepanjang masa.

“Saya merasakan ini satu isu sukar. Kita perlu melihatnya dar perspektif komuniti (India) dan (juga) perspektif Kementerian Pelajaran dan cuba untuk menyelesaikan sebab dalam konteks rakyat Malaysia, sensitiviti kaum akan sentiasa wujud.

“Ia sesuatu yang perlu diambil pertimbangan dalam mana-mana polisi yang lazimnya kita lakukan dan dalam mana-mana sistem pembentukan negara ini,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan mesti mempertimbangkan sensitiviti kaum yang berlainan dalam pendekatannya.

Minggu lalu Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India, mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan, terbitan DBP hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.

Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia.

Kamus Dewan semasa adalah edisi keempat, dipasarkan sejak 2005. Edisi pertama keluar pada 1970.

Tiada ulasan: