KUALA LUMPUR – Semua ahli MIC yang dipecat oleh Datuk Seri S Samy Vellu termasuk tiga pemimpin pusat yang mencabar kepimpinannya tahun lalu diterima semula ke pangkuan parti itu.
Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, kesemua mereka yang disingkirkan itu juga dikembalikan jawatan masing-masing termasuk yang dimenangi mereka pada pemilihan parti September 2009.
Kata beliau, keputusan memberi peluang kali kedua itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) di sini, malam ini.
“Ahli kita yang singkirkan, dipecat atau keluar parti sejak Mac 2008 dan selepas pemilihan parti September 2009 boleh menyertai MIC.
“Jawatankuasa kerja pusat MIC hari ini memutuskan untuk beri peluang kepada semua ahli ini termasuk tiga pemimpin yang dipecat tahun lalu dengan syarat mereka menghantar surat rayuan secara bertulis kepada parti dalam tempoh 30 hari,” katanya pada sidang media.
Menurut Palanivel, mana-mana pemimpin yang telah dipilih pada pemilihan MIC dan kemudian dipecat akan mendapat semula jawatan mereka kerana kekosongan itu masih belum diisi.
“Kami akan beri tempoh 30 hari untuk buat surat bertulis dan pemimpin yang mempunyai jawatan termasuk dalam CWC atau Pemuda (MIC) yang dipilih pada pemilihan 2009 akan mendapat semula jawatan itu.
“Jika dipilih pada pemilihan parti pada September 2009, mereka berhak dapat semula jawatan itu,” katanya.
Tiga pemimpin yang dipecat Samy Vellu tahun lalu adalah anggota CWC Kumar Aamaan dan K.P Samy serta bekas timbalan ketua Pemuda MIC pusat V Mugilan, yang juga bekas Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor.
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan mengepalai kempen Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) menggesa pemimpin veteran itu melepaskan jawatan presiden dengan segera, menjelang akhir 2010.
Kempen itu diadakan selepas Samy Vellu, yang kini merupakan duta khas bertaraf menteri, mengumumkan pertengahan tahun lalu bahawa akan melepaskan jawatannya pada suku ketiga 2011.
Tegas Palanivel, keputusan itu dibuat sebagai langkah parti itu untuk memperkukuhkan kedudukan dalam masyarakat India dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Dalam usaha memperkuatkan parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 kita memberi peluang kepada ahli untuk kembali kepada parti.
“Tujuan kita adalah untuk memperkuatkan parti kerana kita mahu jadi sebuah parti yang kuat untuk mewakili masyarakat India.
“MIC perlu wujud sebagai sebuah parti yang kuat dan keputusan ini dibuat untuk perkukuhkan MIC,” katanya.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan Palanavel dijangka akan menerima semula Kumar Aaman, K.P Samy dan Mugilan serta ahli MIC yang turut dipecat sebelum ini.
Malah CWC MIC telah menerima balik bekas ketua MIC Petaling Jaya Selatan V Subramaniam atau lebih dikenali sebagai “Barat Maniam”, yang turut dipecat daripada MIC oleh Samy Vellu pada Januari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan