KUALA LUMPUR — Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) menggesa Putrajaya mengadakan panel bebas bagi mengkaji semula proses pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang SPM yang muncul sebagai “isu tahunan.”
Badan bukan kerajaan itu berkata kajian seharusnya merangkumi pengagihan biasiswa oleh syarikat-syarikat berhubung kait kerajaan (GLC) di mana dana awam disalurkan, selain mewujudkan satu proses pemilihan yang adil.
Sehubungan itu, Pengerusi Proham Tan Sri Simon Sipaun berkata, pihaknya kecewa kerana masalah berkaitan kekeliruan dan salah faham berkisar pengagihan biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar cemerlang SPM sekali lagi berlarutan tahun ini.
Katanya, aduan berkenaan kecuaian, pilih kasih dan dinafikan hak yang pernah wujud tahun-tahun lalu muncul semula.
“Rasa tidak puas hati publik mengenai cara pemilihan dibuat sudah menjadi satu isu tahunan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan mengadakan pertemuan dengan JPA hari ini mengenai isu tersebut.
JPA pula mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil MIC semalam dan dijadual mengadakan pertemuan Perkasa petang ini.
Sipaun menambah, Proham melihat bahawa rasa tida puas hati dan kekecewaan publik bukan sahaja menjejaskan imej agensi persekutuan dan kerajaan pusat, malah mencetuskan kebimbangan yang mendalam di kalangan golongan muda dan keluarga mereka.
Tegas beliau, ekoran berulangnya isu tersebut, persepsi publik menunjukkan terjejasnya hubungan kaum dan pelanggaran hak asasi manusia.
Sehubungan itu, jelas beliau, Proham mahu Najib dan kerajaan persekutuan mengadakan pendekatan-pendekatan yang lebih kukuh untuk mengembalikan keyakinan awam ke atas agensi kerajaan dan kerajaan pusat dalam isu pengagihan biasisawa.
Selain mengadakan sebuah badan bebas, kata Sipaun, kerajaan juga perlu, dengan serius, mengkaji semula keperluan menghantar pelajar yang memperoleh biasiswa penuh mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di luar negara.
“Kini ada 20 universiti awam dan lebih 20 universiti swasta tempatan dan asing yang baik di Malaysia.
“Usaha perlu diadakan untuk mengembalikan keyakinan penuh ke atas institusi pengajian tinggi Malaysia sebagai pilihan pertama,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Proham juga mengesyorkan agar kerajaan mengadakan panel bebas persekutuan untuk menyelia proses pengagihan kesemua biasiswa yang ditawarkan oleh pihak pusat.
“Matlamat ialah untuk menyemai keyakinan awam ke atas proses pemilihan (yang digunakan). Mekanisme semasa dan berulangnya kejadian yang serupa mendedahkan kehilangan keyakinan ke atas agensi yang terbabit,” kata Sipaun lagi.
Malah Proham juga mahu kerajaan mengeluarkan nama penerima-penerima biasiswa termasuk institusi mereka belajar dan nilai biasiswa kepada umum demi mengembalikan keyakinan ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan