HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Ogos 2011

PM: ‘Tunggu, nama pemaju tapak Penjara Pudu datang’


KUALA LUMPUR — Putrajaya akan mengumumkan dalam waktu terdekat keputusan mengenai syarikat yang bakal membangunkan semula kawasan bekas tapak Penjara Pudu di ibu negara, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Syor mengenai lokasi itu yang terletak di segi tiga emas, yang dibuat oleh UDA Holdings Bhd, menunggu kelulusan kerajaan pusat. Projek itu dinamakan Bukit Bintang City Centre (BBCC).

“Itu kemudian nanti... nanti, (ia) datang... tunggu, tunggu,” kata Perdana Menteri (gambar) ketika ditanya sama ada pentadbirannya sudah pun memutuskan syarikat yang akan dilantik untuk menjalankan projek tersebut.

“Hari ini, saya mahu fokus ke atas projek ini (Hentian Puduraya). Jika saya mengumumkan perkara lain, maka perkara lain menjadi berita besar,” kata Najib yang mahu kunjungannya ke pusat pengangkutan awam ini — bas dan teksi — diberikan penekanan.

Usaha UDA Holdings, syarikat milik kerajaan (GLC), untuk mengurangkan hutangnya dan menjana dana bagi program-program tindakan afirmatifnya dilihat terhalang ekoran tekanan politik, dengan Kementerian Kewangan melewatkan keputusan ke atas syor lembaga agensi itu yang menamakan syarikat China untuk membangunkan tapak tersebut.

The Malaysian Insider difahamkan kerajaan sedang berhadapan dengan tekanan dan lobi daripada syarikat-syarikat tempatan yang ada hubung kait dengan politik, yang berminat untuk menyertai projek pembangunan semula lokasi tersebut.

UDA Holdings telah mengesyorkan syarikat China, Everbright International Construction Ltd sebagai rakan kongsi pembangunan lokasi seluas lapan hektar.

Sumber-sumber memberitahu, proses menyenarai pendek telah selesai dan bidaan Everbright lebih RM2 bilion, tiga kali ganda berbanding nilai tanah.

Pada Julai lalu, pentadbiran Najib telah menolak penjualan UDA membabitkan 3.56 ekar tanah perdana di ibu negara kepada Ndaya Properties Berhad, syarikat 54 peratus milik Bumiputera, yang dahulu dikenali sebagai Mutiara Goodyear Development Bhd, kerana pegangan Bumiputera tidak mencukupi.

Keputusan mengenai bekas tapak Penjara Pudu juga dilihat sebagai satu lagi ujian kepada komitmen liberalisasi ekonomi pentadbiran Najib. Pengerusi UDA Holdings Bhd Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini pernah menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepada syarikat GLC itu berhubung pemilihan syarikat yang akan dilantik untuk membangunkan BBCC sebagai bermotifkan politik.

Nur Jazlan mempersoalkan mengapa pemimpin Perkasa dan Umno menuduh Uda Holding mengetepikan keperluan syarikat Bumiputera dalam membangunkan projek bernilai RM6.7 bilion walaupun keputusan rasmi masih belum dibuat.

“Ini telah menjadi serangan peribadi kepada saya, ahli lembaga pengarah... mereka yang tidak peka melakukan perkara ini untuk mempengaruhi keputusan ahli lembaga pengarah.

“Ini bermotifkan politik, ini bukan lagi agenda Umno... saya juga ahli Umno, ini bukan pembangkang yang serang kita, tapi ahli Umno sendiri,” katanya.

Sebelum ini Nur Jazlan menjangkakan projek BBCC dijangka akan siap dalam tempoh empat atau lima tahun dan ia dibangunkan tanpa mendapat pembiayaan daripada Putrajaya dan akan dibiayai sepenuhnya syarikat strategik UDA Holdings.

Tiada ulasan: