KUALA LUMPUR - Pengkaji bintang yang telah memenangi beberapa anugerah, R S Maniam berkata pembentangan Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari pukul 4.07 petang pada 7 Okt akan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat kerana waktu berkenaan disokong tenaga positif cakerawala.
Permulaan pembentangan itu adalah pada waktu yang baik, termasuk persinggahan planet Zuhrah ke dalam kedudukan yang begitu hebat, kata beliau.
Maniam, yang menetap di Kota Baharu dan menceburi bidang astrologi sejak 20 tahun lepas serta memenangi Anugerah Nostradamus 2010, berkata pembentangan Belanjawan 2012 adalah ketika beberapa planet berada dalam kedudukan sejajar yang menyediakan dorongan kuat bagi transformasi.
"Bulan/Jupiter/Marikh/Zuhrah kesemuanya berada dalam Chara Rasi, satu tanda utama transformasi pesat. Kesemua ini adalah tanda-tanda dinamik. Kesemua empat tanda utama atau tanda boleh ubah ini terlibat dengan perubahan-perubahan bermusim di dunia," katanya kepada Bernama.
Maniam, seorang penolong pegawai perubatan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, berkata ini merupakan pertama kali beliau menganalisis belanjawan selepas membaca banyak artikel mengenainya.
"Saya memutuskan untuk membuat analisis dan lebih banyak saya mengkajinya, saya berpendapat terdapat banyak aspek yang membawa manfaat dalam Belanjawan 2012 yang tertulis dalam ramalan bintang-bintang," katanya.
Najib berkata Belanjawan 2012, yang akan terus menggalakkan program transformasi meliputi kerajaan, ekonomi, dan politik akan turut membantu memenuhi janjinya kepada rakyat seperti yang terkandung dalam prinsip 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"Transformasi yang kita sedang alami ini perlu memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat Malaysia dan bukan hanya segelintir kumpulan sahaja. Transformasi ini berpaksikan janji saya kepada anda dan semua Rakyat Malaysia yang disebut pertama kalinya pada April 2009 lalu," demikian menurut Perdana Menteri dalam tulisannya pada blog www.1Malaysia.com.my.
Katanya kedua-dua kerajaan dan rakyat mahukan perkara yang sama iaitu pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan berterusan yang dapat dinikmati dalam suasana harmoni.
Maniam, yang pernah menerima anugerah 'Jothida Kalami" yang mengiktiraf usahanya dalam bidang astrologi daripada Persatuan Astrologi Malaysia tahun ini, berkata baju Melayu berwarna merah yang dipakai Najib semasa membentangkan Belanjawan 2012 memberi petanda baik kepada Perdana Menteri.
"Merah adalah warna Marikh dan ini memberikan petanda teguh seorang pentadbir," jelas beliau dan menyatakan bahawa penafsiran angka bagi nama Najib dan kawasan Parlimen yang diwakilinya, Pekan, membawa tuah kepada beliau sebagai seorang pemimpin.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan