HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Oktober 2011

Kelantan jelaskan hudud kepada Kesatuan Eropah

Taklimat mengenai hudud itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub.



PETALING JAYA: Kerajaan negeri Kelantan mengambil inisiatif memberi penjelasan mengenai hukum hudud kepada duta Kesatuan Eropah, Vincent Piket dan rombongannya ketika mereka membuat kunjungan hormat ke negeri itu.

Taklimat mengenai hudud itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakub di pejabat beliau, di Kota Bharu semalam.

“Nampaknya beliau faham situasi sebenar mengapa Kelantan tidak dapat melaksanakan undang-undang ini kerana Kelantan adalah sebahagian dari negeri yang bernaung di bawah Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad turut menjelaskan mengenai perkembangan pembangunan negeri dan perkembangan politik Kelantan kepada rombongan Kesatuan Eropah itu.

Ahmad memberitahu duta tersebut bahawa hasrat PAS untuk melaksana hukum hudud di negeri itu telah dihalang oleh para pemimpin Umno-Barisan Nasional dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut memberi penjelasan kepada Vincent dan rombongannya mengenai tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih.

Sementara itu, Kerajaan PAS Kelantan akan menggerakkan program penerangan mengenai hukum hudud di negeri itu termasuk kepada golongan bukan Islam bermula hari ini.

Menurut exco negeri, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah, bermula malam esok, sesi ceramah akan diadakan di seluruh negeri termasuk ceramah perdana di Kota Bharu Khamis ini.

“Oleh kerana hukum hudud menjadi isu besar, jadi kerajaan PAS perlu ada program penerangan secara besar-besar untuk elak kekeliruan tentang hukum hudud,” jelas beliau.

Tiada ulasan: