MPN hanya akan memberikan kenyataan sekiranya ia membabitkan isu nasional, kata setiausaha Dr Raduan Che Rose.
PETALING JAYA: Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Raduan Che Rose menjelaskan bahawa MPN tidak akan masuk campur di dalam isu siasatan terhadap profesor undang-undang perlembagaan, Abdul Aziz Bari.
“Saya bagi pihak MPN tidak akan memberikan komen kerana adalah tidak strategik untuk mengulas perkara ini. MPN hanya akan memberikan kenyataan sekiranya ia membabitkan isu nasional,” kata Raduan.
Pada minggu lepas Aziz dipetik mengulas bahawa campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam konflik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) – Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) sebagai ‘luar biasa’ dan ‘tidak konsisten’.
Ulasan Aziz turut dilaporkan akhbar Utusan Malaysia sebagai menghina sultan.
Berikutan itu, Senator Ezam Noor bersama kumpulan NGO Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) telah membuat laporan polis terhadap Aziz di bawah Akta Hasutan 1948 kerana tidak menghormati kuasa sultan dalam hal-ehwal berkaitan Islam.
Isu Jais-DUMC tercetus pada awal bulan Ogos apabila wujud ura-ura mengenai kegiatan pemesongan akidah di dalam majlis makan malam anjuran sebuah NGO yang diadakan di DUMC.
Aziz telah disoalsiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kelmarin dan disoalsiasat polis di IPD Shah Alam di bawah Akta Hasutan 1948 pada hari ini.
Raduan turut menyifatkan komentar profesor undang-undang itu terhadap Sultan Selangor berlaku kerana wujudnya jurang komunikasi dan berpendapat adalah tidak baik sekiranya isu Aziz Bari ini digembar-gemburkan oleh pihak media massa.
Berkenaan laporan polis polis Ezam dan Gaps, Raduan berkata: “Semua orang mempunyai hak untuk membuat laporan polis asalkan ia berdasarkan merit.”
Lihat juga:
Ezam mahu Aziz Bari, Malaysiakini disiasat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan