KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS berharap tindakan kerajaan menarik balik Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru tidak bersifat sementara sebagai gimik politik semata-mata bagi mengabui mata rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.
Sebaliknya sayap PAS itu mahu kerajaan ikhlas dalam memastikan kebajikan dan hak rakyat di kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu terbela sepanjang masa.
Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Titiwangsa, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyambut baik langkah yang diumumkan pagi tadi dan menganggapnya sebagai hasil perjuangan rakyat khususnya penduduk Kampung Baru sendiri, yang berusaha sejak peringkat awal lagi.
Rang undang-undang itu dibawa ke Parlimen untuk bacaan kali pertama pada Disember lalu tetapi berhadapan dengan protes.
“Dengan penarikan balik bacaan kali kedua ini menunjukkan bahawa kerajaan khususnya Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengakui bahawa Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru sebenarnya tidak menguntungkan rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
“Dewan Pemuda mengucapkan tahniah kepada Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) yang memainkan peranan besar dalam menyatukan penduduk Kampung Baru di samping memberi kefahaman yang jelas mengenai rang undang-undang kepada penduduk kampung.
“Bagi Dewan Pemuda, perjuangan SPKB selama ini berbaloi dan kerajaan akhirnya terpaksa akur dengan desakan rakyat yang tidak mahu melihat tanah warisan milik orang Melayu menjadi korban pembangunan pesat Kuala Lumpur,” kata beliau yang turut mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS).
MAS mentadbir kawasan itu sejak 111 tahun lalu.
“Selain SPKB dan MAS, peranan utama yang dimainkan oleh Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Ghazali selaku Ahli Parlimen Titiwangsa yang selama hayatnya tidak pernah merasa jemu dan letih turun padang bagi membela isu Kampung Baru,” katanya.
Kerajaan mengumumkan keputusan menarik balik rang undang-undang itu pagi tadi ketika Dewan Rakyat memulakan sidang hari pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan