HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Oktober 2011

Pinjaman murah China tak diguna, Putrajaya mahu dana bank lokal



KUALA LUMPUR - Putrajaya telah memutuskan untuk melepaskan pinjaman murah AS$800 daripada China untuk membina Jambatan Kedua Pulau Pinang, sebaliknya telah meminta Bank Pembangunan milik kerajaan agar terus menaja jamin pembinaan laluan 24 kilometer itu, yang dijangka siap pada 2013.

The Malaysian Insider difahamkan projek kerjasama Malaysia-China tidak mengeluarkan sebarang wang daripada pinjaman yang ditawarkan pada Julai 2007 ketika Tun Abdullah Badawi merupakan perdana menteri. Kadar faedah bagi pinjaman itu adalah tiga peratus bagi tempoh 20 tahun.

“Kementerian Kewangan tidak mengambil satu sen pun daripada pinjaman tetapi telah meminta bank-bank tempatan agar menyediakan baki dana,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.

Tiada alasan diberikan atas keputusan tidak menggunakan pinjaman itu, yang dilihat sebagai tanda hubungan rapat antara China dan Malaysia khususnya bagi Pulau Pinang yang terdiri daripada komuniti Cina dalam jumlah yang besar.

Satu lagi sumber mengesahkan bahawa Bank Pembangunan telah diminta memberikan pinjaman tambahan selain RM1.7 bilion dikeluarkan kepada projek kerjasama antara China Harbour Engineering Company (CHEC) Ltd dan UEM Builders Bhd, yang dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad.

“Bank Pembangunan kini menyediakan sebahagian besar wang berbanding (menggunakan) pinjaman China,” katanya.

Tidak diketahui sama ada penggunaan dana tempatan akan mengehadkan aliran pinjaman bagi projek-projek infrastruktur dalam negara termasuk Transit Rapid Massa (MRT) Lembah Klang yang dijangka menelan belanja sehingga RM50 bilion bagi laluan antara Sungai Buloh dan Kajang.

Jambatan Kedua Pulau Pinang diuruskan oleh Jambatan Kedua Sdn Bhd, milik Kementerian Kewangan, dan berhadapan dengan ketegangan ekoran isu kurang elemen kesegeraan dalam kerja-kerja pembinaan oleh pihak China.

Jumlah perbelanjaan akhir RM4.3 billion dipersetujui selepas kerajaan menetapkaun tanda aras ekoran perkiraan menunjukkan kos boleh meningkat sehingga RM4.8 bilion.

Kedua-dua pihak UEM dan CHEC berhujah bahawa kos jambatan telah mengalami peningkatan dari RM3.6 bilion pada 2006 disebabkan kenaikan kos bahan-bahan pembinaan.

Tetapi pegawai-pegawai Kementerian Kewangan menekankan bahawa jambatan itu boleh dibina pada kos RM4.3 bilion dan kedua-dua pihak masih boleh memperoleh keuntungan yang munasabah.

Kerajaan perlu memastikan bahawa jambatan itu dibina pada kos yang munasabah sebab urus janji projek dipantau dengan rapat oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng dan kerajaan negeri pimpinan beliau.

Lim sebelum ini mahukan projek itu ditaja sepenuhnya oleh Petronas tetapi pentadbiran Abdullah telah menolak idea itu.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: