Oleh: Sidiqin Omar
JOHOR BAHRU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor mengecam tindakan pihak tertentu yang cuba menganggu Kongres Nasional KEADILAN dengan menggantung kain rentang berbentuk provokasi.
Ketuanya, Nazri Ismail berkata, ia termasuk cubaan mengedar risalah fitnah di Masjid untuk mencipta persepsi negatif kepada orang ramai terhadap perjalanan kongres kali ini.
Sehubungan itu, beliau mencabar pihak yang berselindung menggunakan NGO tertentu untuk tampil berdebat sekiranya tidak berpuas hati dengan dasar KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
“Sekadar menuduh orang lain pengkhianat tak memberikan apa-apa makna Jangan jadi penakut dan bersembunyi disebalik nama NGO,’ katanya pada sidang media di Pulai Spring Resort, tengah hari tadi.
Turut sama dalam sidang media itu Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip.
Sebanyak 16 kain rentang pelbagai kandungan provokasi ditemui Timbalan Ketua AMK Batu Pahat, Mohamed Faizal dan bendaharinya Samad Zin di Taman Teratai, kira-kira satu kilometer dari lokasi Kongres.
Manakala risalah fitnah empat muka surat ditemui di Masjid Taman Universiti, Taman Sri Pulai dan Skudai.
Justeru, Biro Guaman AMK Johor, Jimmy Puah berkata pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.
Katanya, kenyataan dalam kain-kain rentang itu cuba melaga-lagakan parti dalam Pakatan Rakyat
“Kami harap pihak ini boleh hormat dan jangan ganggu. Mengganggu program parti yang sah di sisi undang-undang menyalahi perlembagaan Persekutuan.
“Apakah anggota KEADILAN pernah buat gangguan ketika parti dari Barisan Nasional membuat program mereka?
“Hormatilah hak orang Malaysia yang lain,” kata Jimmy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan