HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2011

Khairy mahu PM beri Shahrizat peluang

Shahrizat wajar diberi peluang berkhidmat dalam parti berikutan rekodnya yang cemerlang.



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyeru kepada ahli pergerakan itu memberi peluang kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan isu National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, Shahrizat wajar diberi peluang berkhidmat dalam parti berikutan rekodnya yang cemerlang sebagai pemimpin sayap Wanita dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dalam politik pelbagai rintangan yang perlu ditempuh.

“Jadi tolong bagi dia masa untuk jelaskan semuanya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC di sini hari ini.

Majlis perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri dilakukan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Khairy juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peluang yang sama kepada Shahrizat untuk menjelaskan penglibatannya dalam skandal NFC sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Harap PM pertimbang’

“Kalau Perdana Menteri puas hati dengan penjelasan itu maka dia perlu diberi peluang untuk teruskan kerjayanya.
“Saya harap Perdana Menteri akan beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrizat menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan isu berkaitan NFC.

Katanya, beliau tidak akan menggunakan Perhimpunan Agung Umno minggu ini untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang berkaitan NFC.

“Saya tidak akan jelaskan (isu NFC) tetapi ada satu, dua mesej yang nak saya jelas kepada pihak di luar sana semasa persidangan Wanita nanti.

“Tunggulah. Sebagai pemimpin, kita kena banyak bersabar, tenang dan jangan cepat melatah.

Tidak halang

“Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita Umno,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun Shahrizat berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk berbahas isu berkenaan NFC.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC di mana suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail menjadi Pengerusi Eksekutifnya.

Turut baca:

Khairy kecam kelompok muncul di ambang p’raya

Tiada ulasan: