Aziz Muda |
KUALA LUMPUR: Perjanjian pinjaman antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan CIMB Bank yang dipunyai adik kepada Perdana Menteri, dikenal pasti mendatangkan satu bebanan amat berat kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi dan ibu bapa di negara ini. Bebanan tersebut terpaksa ditanggung ekoran penetapan kadar faedah cukup tinggi sehingga 5.17 peratus setahun, sehingga menyebabkan banyak lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) gagal menyelesaikan hutang masing-masing dengan PTPTN. Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kerajaan BN perlu sedar perkara itu dan tidak sewajarnya menyalahkan pihak pelajar atau mahasiswa yang sukar membayar pinjaman mereka dengan PTPTN. Menurut beliau, sebaliknya, pihak kementerian dan kerajaan sendiri terlebih dahulu perlu mengkaji kembali perjanjian pinjaman yang telah dimetrai antara PTPTN dan CIMB Bank. Katanya, kadar faedah yang terlampau tinggi akhirnya pasti membebankan para peminjam itu sendiri, tetapi jika kadar faedah dengan bank rendah, para peminjam tidak lagi perlu membayar caj perkhidmatan yang dikenakan. "PTPTN dahulunya mengenakan kadar caj sebanyak 4 peratus, kemudian diturunkan kepada 3 peratus dan kini melalui sistem ujrah yang dikatakan berlandaskan syariah masih lagi mengekalkan kadar caj sebanyak 1 peratus yang sepatutnya sudah tidak dikenakan lagi," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini. Dasar Pendidikan Negara pada masa kini, menurut beliau, sememangnya agak menyukarkan para pelajar sehingga apabila melangkah keluar universiti setelah menamatkan pengajian, mahasiswa sudah berhutang. Katanya, setelah berhempas pulas untuk memasuki universiti, selepas keluar universiti, para mahasiswa telah dikejar dengan "Lembaga" yang digelar PTPTN. "Pada hal pihak kerajaan sendiri perlu sedar, terdapat pelajar yang selepas bergraduasi masih tidak mempunyai pekerjaan dan ini amat menyukarkan pelajar berkenaan untuk membayar balik pinjamannya," tegasnya. Beliau menyarankan pihak kementerian membuat prosedur agar mahasiswa yang masih belum mempunyai pekerjaan tidak disenaraihitamkan sebagai mereka yang enggan atau tidak membayar hutang. Ketika berucap pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Kementerian Pengajian Tinggi pada persidangan Dewan Rakyat Selasa lalu, beliau turut menyebut perkara itu dan turut mendedahkan fakta-fakta berhubung hutang para pelajar dengan PTPTN. Sehingga Oktober lalu, seramai 69,573 pelajar yang meminjam dengan PTPTN telah diperintahkan supaya membayar balik pinjaman mereka oleh mahkamah. Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamad Said yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau pula menjelaskan, sehingga kini seramai 104,083 peminjam telah disaman kerana gagal menjelaskan pinjaman mereka. Sehingga September 2011, PTPTN hanya berjaya memungut RM2.74 bilion iaitu 48.34 peratus berbanding RM6.2 bilion jumlah yang sepatutnya diperolehi. Sehingga kini, 132,801 pelajar telah disenaraihitam dan tidak boleh keluar negara kerana tidak menjelaskan pinjaman mereka, manakala 8,143 pelajar yang telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen telah membayar balik pinjaman mereka membabitkan kutipan kira-kira RM146 juta. Menurutnya, di dalam jawapan kementerian kepada soalan yang dikemukakan oleh beliau pada persidangan Dewan Rakyat 17 November lalu, dijelaskan bahawa pihak kementerian tidak bercadang untuk melaksanakan sistem ujrah itu secara automatik. "Maknanya, peminjam perlu mengisi perjanjian baru untuk menukar sistem ujrah. Saya ingin menarik perhatian kementerian, sedar atau tidak bahawa perjanjian ujrah ini juga menghendaki peminjam menandatangi akuan untuk membenarkan pembayaran pinjaman dengan pemotongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri? "Pihak kementerian dalam Dewan yang Mulia ini bersetuju pemotongan gaji ini masih tidak dilaksanakan, tetapi kenapa perlu wujudnya akuan ini di dalam sistem ujrah?" tanyanya. Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak kementerian terbabit mencari kaedah lain untuk mengutip kembali pinjaman selain mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang masih belum membayar pinjaman mereka. |
HALAMAN SANTAI
Sabtu, 26 November 2011
Perjanjian PTPTN-CIMB Bank bebankan pelajar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan