HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 November 2011

Zakat S’gor tidak diaudit?

"Saya tak pernah hentam pengurusan zakat Selangor sebagaimana yang dititahkan (Sultan Selangor)," kata Aziz Bari.



PETALING JAYA: Pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari hari ini menafikan dakwaan beliau ada mengeluarkan kenyataan berhubung isu zakat di Selangor tidak diaudit.

“Saya tak pernah hentam pengurusan zakat Selangor sebagaimana yang dititahkan,” kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu kepada FMT hari ini berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berhubung isu ini.

Minggu lepas beliau memberi komen tentang pindaan kepada enakmen mengenai pengurusan masjid dan zakat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan cara Tuanku menitah para Ahli Dewan Undangan Negeri agar tidak menentang pindaan itu.

“Dua isu itu saya fikir tidak kena di sisi perlembagaan. Ini kerana ia memberi terlalu banyak kuasa dan ia boleh disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Tuanku. Kuasa mutlak itu termasuk dalam soal pengurusan masjid dan zakat.

“Saya tidak kata zakat di Selangor tidak diaudit. Apa yang saya komen ialah kebimbangan yang wujud ekoran pindaan itu dan ia mungkin berlaku di masa depan,” jelas beliau.

Tegas beliau, “saya tidak membuat apa-apa tuduhan; saya tidak buat apa-apa komen mengenai kedudukan pengutipan dan laporan zakat itu sekarang.

“Tegasnya saya tidak melakukan apa yang dititah oleh Tuanku semalam. Saya menyatakan kebimbangan di masa depan. Saya tidak membuat tuduhan atau cuba mengelirukan rakyat.

“Apa pun saya sedia mengadap Tuanku jika dikehendakki. Saya fikir Tuanku berhak dan perlu mendapat input yang luas dan berbeza.

“Saya telah banyak membuat kajian mengenai institusi beraja. Saya juga membayar zakat dan fitrah di Selangor. Saya mahu zakat diurus dengan baik. Dua perkara ini melayakkan saya membuat komen.

“Mungkin ada maklumat yang tidak saya ketahui. Sebab itu saya ulangi saya bersedia mengadap Tuanku jika dititahkan,” katanya.

Tiada ulasan: