HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 November 2011

AMK sokong usul tolak RUU Perhimpunan Aman tanpa bahas

Oleh: Masdar Wahid


JOHOR BAHRU: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencadangkan Kongres KEADILAN kali ke 8 menyokong usul menolak Rang Undang-undang (RUU) Perhimpunan Aman, kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin.

Ini kerana katanya, RUU yang akan dinamakan Akta Perhimpunan Aman sekiranya diluluskan di dewan rakyat itu, jelas bertentangan dengan hak asasi manusia serta ditolak majoriti rakyat.

“Pengerusi Tetap, saya mencadangkan agar Kongres parti kali ini menolak RUU himpunan aman tanpa bahas,” katanya yang turut diikuti perwakilan dewan yang bangun berdiri menyokong usul itu.

Shamsul berucap bagi mewakili AMK ketika menggulung perbahasan menyokong ucapan dasar presiden.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan RUU itu bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu melaksanakan reformasi dalam pentadbirannya, termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malah, katanya, Najib juga enggan menghormati keputusan mahkamah yang memutuskan Akta Universiti dan Kolej (Auku) bertentangan dengan perlembagaan.

“ISA yang sehingga kini tidak dimansuh, RUU Perhimpunan Aman yang semakin kejam serta tindakan pentadbiran Najib mengemukakan rayuan mengenai AUKU membuktikan betapa flip-flopnya beliau selaku pemimpin,” tegasnya.

Tiada ulasan: