HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2011

Anak muda diajak tolak Akta Perhimpunan Aman

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar mengingatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan 'jaminan keselamatan' kerajaan dalam Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau sebaliknya menyeru golongan muda menolak akta tersebut kerana ianya jelas menghalang kebebasan bersuara anak muda yang menyokong sistem demokrasi.

Katanya, akta itu digubal hanya untuk menjaga kepentingan politik Umno BN untuk terus memerintah negara.

"Kita minta anak muda tolak undang-undang ini dengan slogan undang-undang ini dipinda untuk kesinambungan politik Barisan Nasional, bukan untuk keamanan rakyat.

" Akta ini akan menghalang perhimpunan yang dilakukan oleh belia apatah lagi apabila disebutkan remaja 15 tahun ke bawah tidak boleh menyertai himpunan. Jadi ini akan menjejaskan aktiviti anak muda," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Firdaus berkata, Umno BN ternyata menggunakan Parlimen untuk kepentingan mereka apabila membentangkan dan meluluskan akta tersebut secara tergesa-gesa dan menolak cadangan Pakatan Rakyat agar ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

"Undang-undang ini bukan untuk keamanan tapi untuk keselamatan pimpinan Umno BN. Umno BN guna Parlimen untuk keselesaan mereka memerintah Malaysia, bukan undang-undang untuk beri manfaat besar kepada rakyat," katanya.

Rang undang-undang tersebut diluluskan petang semalam selepas penggulungannya dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Sebelum itu ia dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Tiada ulasan: