Oleh Adil Mat Selamat
Bumi Arab pelbagai kaum, agama
Negara-negara di Timur Tengah, sungguh pun majoritinya berbangsa Arab (atau lebih tepat lagi berbahasa Arab), bangsa ini dibeza-bezakan antara mereka dengan suku kaum dan kabilah. Suku kaum atau puak ini walau pun mungkin sama dari segi warna mata dan ikal rambutnya, tetap berbeza dari segi amalan budaya, adat resam, dialek, makan minum, mahu pun sikap.
Difahamkan, bangsa Arab terbahagi dari tiga susur galur terbesar, iaitu Ba’idah, Aribah yang juga dikenali sebagai Arab Qahthanifah, dan Musta’ribah. Mereka adalah kaum-kaum Arab yang berasal dari keturunan lsma’il, yang disebut pula Arab Adnaniyah.
Dari tiga pecahan susur galur ini, mereka dipecahkan lagi dengan pelbagai suku kaum yang kecil hingga jumlahnya berpuluh-puluh lagi.
Itu belum termasuk lagi pecahan mengikut negara bangsa yang moden di mana setiap negara di Timur Tengah mempunyai kaum-kaum minoriti masing-masing, sama ada dari segi ras dan etnik, dan juga agama. Walau pun majoriti mereka beragama Islam, mazhab mereka berbeza-beza; dari yang pecahan besar iaitu Sunnah dan Syiah, kepada mahzab-mazhab kecil daripada kedua-dua aliran anutan itu.
Selain itu, golongan minoriti dalam negara-negara Arab juga menganut agama selain Islam seperti Kristian, Majusi dan Yahudi, dan di kalangan mereka yang bukan Islam ini juga mempunyai mazhab-mazhab masing-masing.
Malaysia juga pelbagai kaum, agama
Di Malaysia, yang Melayu itu ada pelbagai keturunan dan salasilah. Ada Minang, Bugis, Jawa, Banjar, Minang, Boyan (Bawean), Patani, Mandailing dan sebagainya. Itu belum melihat dari aspek keturunan lagi. Ada yang Bugis Daeng, Jawa juga pelbagai, ada keturunan Syed dan Syarifah, Wan, Abang, Megat, Dayang dan bermacam-macam lagi termasuk golongan Muslim India yang juga berbeza-beza suku kaum dan bahasa seperti Tamil, Malayalam, Hindi dan Bengali.
Yang bukan Melayu pula ada Cina dari pelbagai keturunan, dialek dan agama, dan juga India yang mempunyai kepelbagaian masyarakat yang bukan sahaja terhadap kepada mereka yang berbahasa Tamil tetapi juga Malayalam dan Punjabi.
Di Sabah dan Sarawak pula, kaum dan suku kaum Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Orang Ulu, Bugis, Bajau dan banyak lagi.
Begitu juga kumpulan masyarakat awal yang menetap di tanah air ini sejak awal zaman lagi sebagai Orang Asal atau Asli yang mana mereka juga berbeza-beza mengikut kawasan, cara hidup, bahasa dan dialek, serta agama.
Negara-negara lain pun unik juga
Tidak ada salahnya bagi kita untuk meraikan ‘keunikan’ kepelbagaian kaum, bahasa dan agama di Malaysia. Malah ia patut digalakkan. Namun kita perlu berhati-hati dengan kalimah politik yang sentiasa mempunyai banyak muslihat.
Jika ‘keunikan’ Malaysia dijadikan alasan untuk menyekat hak, mengekang kebebasan dan melanggar hak asasi, maka itu adalah penindasan yang berasaskan pembohongan.
Alasan bahawa Malaysia tidak boleh mengamalkan kebebasan, demokrasi dan hak asasi seperti di Barat kerana negara kita adalah ‘unik’, maka itu adalah penipuan kerana benua-benua Eropah, Amerika dan Australasia juga unik dengan kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa.
Malah, di Barat hari ini, sudah ada jutaan umat Islam serta penganut-penganut kepercayaan Hindu, Buddhisme, Taosime dan pelbagai agama lain, sama ada yang dianuti oleh mereka yang berkulit putih atau pelbagai warna kulit lain.
Justeru, adalah lebih adil jika kita mengakui bahawa bukan kita sahaja yang berbilang kaum dan suku. Negara lain juga begitu, mereka juga aman. Kalau berlaku kekecohan, di Malaysia juga ada kekecohan. Jika ada jenayah, Malaysia pun tidak kurang jenayahnya.
Perbezaan adalah persaudaraan
Kepelbagaian inilah yang mendorong manusia menggunakan ilmu yang telah diberi untuk hidup bersama-sama tanpa ada prasangka buruk antara satu sama lain. Yang memecah-belahkan manusia bukanlah Tuhan, sebaliknya sikap kita sendiri.
Buktinya, setinggi mana pun seseorang itu bersekolah atau sekaya mana pun seseorang itu memiliki harta, belum tentu mereka tidak bersikap rasis dan berprasangka buruk antara kaum atau puak lain.
Namun, bukanlah bermakna menuntut ilmu itu tidak baik dan tidak berkesan untuk mengubat penyakit syak wasangka ini, sebaliknya ia melibatkan soal sikap. Ilmu hanya akan memberi pengetahuan untuk manusia menilai sesuatu dan menggunakannya, tetapi sebaliknya ilmu tidak akan mampu mengubah apa-apa selagi sikap kita tidak turut sama berubah.
Dalam soal perkauman dan sikap rasis, ia wujud di mana-mana, sama ada dalam golongan miskin, sederhana atau kaya.
Belajar dari sejarah
Jika kita dapat lihat bagaimana perjuangan Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwahnya, antara sisi yang kurang diberi perhatian oleh cerdik pandai agama adalah bagaimana dakwah Rasulullah berhadapan dengan sikap manusia yang senantiasa berburuk sangka tanpa mendengar dengan teliti ajarannya dan mengkaji sedalam-dalamnya dakwah beliau.
Masyarakat disekeliling Nabi pada zaman itu bukanlah satu bangsa seperti zaman batu yang bercawat dan duduk di dalam gua. Sebaliknya masyarakat zaman itu sudah punya budaya, ada pendidikan, ada bahasa, ada puisi, ada perniagaan. Mereka berpengetahuan dan berpelajaran.
Namun mengapa mereka digelar masyarakat jahiliyah? Tidak lain dan tidak bukan, kerana sikap mereka.
Sikap berpuak-puak, sikap prejudis kepada kaum wanita dan hamba, assabiyah dan taksub puak serta kabilah, tamak pada kebendaan dan kuasa, berburuk sangka hingga sanggup membunuh dan menzalimi kaum lemah termasuk kanak-kanak dan orang kurang upaya. Inilah yang dimaksudkan dengan jahiliyah – kegelapan.
Kedatangan Nabi Muhammad SAW bukan sekadar mengIslamkan masyaraktnya tetapi juga baginda datang untuk membantu mengubah sikap masyarakatnya. Hanya dengan perubahan sikap, maka risalah baginda akan difahami dan diikuti manusia.
Soal Islam atau kafirnya seseorang itu hanya Tuhan yang menentukan. Soal hati, iman dan akidah, yakni hidayah, adalah seratus peratus kuasa dan hak Tuhan. Kerja dakwah dan berbuat baik ini adalah tanggungjawab manusia.
Hijrah
Apabila kita memahami dengan fikiran dan hati yang tenang tentang hikmah hijrah Rasulullah, kita seharusnya dapat memahami bahawa ia bukan sekadar penghijrahan (perpindahan) secara fizikal, sebaliknya ia adalah satu peralihan spiritual dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Dalam konteks ini, ia bermakna penghijrahan spiritual masyarakat yang yakin dengan kepercayaannya.
Selain dari persoalan iman dan agama, keyakinan ini juga tidak terpisah daripada iltizam untuk menjadi manusia yang lebih baik yang redha dengan kuasa Tuhan.
Untuk mencapai satu tahap di mana hati menjadi ikhlas, pengorbanan diri harus dilakukan. Pengorbanan ini memerlukan satu sikap yang positif atau optimis dengan apa yang bakal mereka perolehi kelak – ganjaran Tuhan.
Apabila rombongan Nabi dari Makkah sampai di Madinah, lihat saja bagaimana sikap orang Madinah yang kebanyakannya bukan Islam, menyambut penuh ikhlas dan gembira kunjungan pengikut-pengikut Rasulullah, malah memberi perlindungan kepada mereka yang berada dalam keadaan cemas dan ditindas sewaktu di Makkah.
Orang-orang Madinah menerima mereka bukan sahaja kerana sikap berbaik sangka dengan orang Islam tetapi juga kerana sikap para pengikut Nabi yang melihat orang Madinah sebagai manusia, sebagai insan, dan bukan sebagai orang ‘kafir’.
Rombongan Makkah telah menunjukkan satu sikap sebagai golongan amanah yang boleh dipercayai dan boleh memahami perbezaan budaya dan kepercayaan. Justeru, kehadiran mereka di bumi Madinah tidak dihalang, malah dialu-alukan.
Inilah bukti di mana dengan sikap, ia boleh mengubah persepsi seseorang kepada kita. Orang yang baru kita kenali tidak akan bertanya tentang kekayaan kita, mereka tidak akan bertanya tentang setinggi mana kita belajar, tetapi mereka menilai terus dari sikap kita. Jika kita tawadhuk dan ikhlas, pasti ia akan terpancar jelas di mata dan sanubari manusia.
Islam milik semua yang cintakan kebenaran, keadilan
Hijrah Nabi Muhammad SAW bukanlah sekadar lari dari kekejaman penentang Islam di Makkah. Ia adalah penghijrahan untuk mengubah persepsi manusia ke atas perjuangan demi kebenaran. Persepsi yang baik ini hanya akan dapat dibentuk menerusi sikap kita yang berbaik sangka antara kaum dan agama.
Melihat kepada politik Malaysia yang tidak habis-habis dengan pihak yang menguasai pemerintahan pusat membenarkan fitnah dan adu-domba antara masyarakat kita, ini menunjukan mereka belum tawadhuk pada perjuangan mereka.
Tidak ada salahnya, malah digalakkan membela nasib bangsa, kaum atau suku kaum sendiri. Tetapi jika ia dilakukan dengan cara menekan, menyekat dan menindas orang lain, ia menjadi persoalan ketidakadilan kepada yang lain. Apabila berlaku ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman, ia bererti bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.
Perjuangan di Malaysia tidak sepatutnya berlandaskan assabiyah, sebaliknya mana-mana pihak sekali pun perlu memastikan asas perjuangan politik mereka adalah untuk menolong dan membela nasib golongan yang lemah, tidak kira kaum atau bangsa.
Bagi sesetengah orang Islam yang sudah terlupa, mungkin elok diperingkatkan kembali bahawa Rasulullah SAW tidak diutuskan Tuhan untuk bangsa dan kaum Arab sahaja. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan