Oleh: Sidiqin Omar
JOHOR BAHRU : Wakil dari Pulau Pinang, R Murali berkata, banyak dasar yang pertama kali diperkenalkan Pakatan Rakyat, ditiru oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.
Antaranya ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ dan wang penghargaan kepada warga emas berjumlah RM100 seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2012, baru-baru ini.
“Kalau kerajaan BN beri RM 500 untuk kakitangan kerajaan, Pulau Pinang beri bonus RM800 untuk kakitangan kerajaan negeri.
“Begitu juga dengan perkhidmatan bas percuma di Georgetown dan dari Seberang Perai ke Bayan Lepas.
“Jadi kita hairan bagaimana masih ada lagi orang berdemonstrasi di Pulau Pinang,” katanya yang fasih berbahasa Melayu semasa berucap di Kongres Nasional KEADILAN ke lapan di Pulai Spring Resort.
Berbanding kerajaan Pusat, katanya, Pulau Pinang berjaya mewujudkan pelbagai inisiatif untuk rakyat meskipun hanya mentadbir dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, selepas prinsip CAT atau ‘Cekap, Akauntibilti & Telus’ dilaksanakan, 59 peratus kontrak kerajaan yang dibuat secara tender terbuka, dimenangi kontraktor bumiputera.
“Siapa kata peniaga bumiputera tak pandai berniaga?,”
“Sebab itulah ada yang mengatakan bahawa Pulau Pinang antara sepuluh pulau di dunia yang wajib anda kunjungi sebelum anda mati,” katanya berseloroh sambil disambut tepukan hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan