HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 November 2011

Najib dakwa RUU Perhimpunan Aman ‘disalah tafsir’


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak hari ini terpaksa mempertahankan keputusan pentadbirannya menggubal undang-undang berkaitan perhimpunan aman, yang dikritik dari dalam kerajaan dan luar kerajaan, sambil mendakwa peruntukan akta baru itu telah disalah tafsir oleh banyak pihak.

Bercakap pada sidang media yang diadakan di sini hari ini, Perdana Menteri mempersalahkan Pakatan Rakyat (PR) atas alasan mengelirukan orang ramai khususnya berkenaan syarat notis 30 hari bagi penganjur perhimpunan memaklumkan pihak polis.

“Sebenarnya perkataan dalam tempoh 30 hari, bermakna ia boleh lima atau 10 hari, tetapi perkataan itu membawa kepada kekeliruan, jadi kami memutuskan untuk meletakkan secara khusus 10 hari, jadi tidak akan ada keraguan lagi,” kata Najib.

Perdana Menteri mengadakan sidang akhbar itu bagi menjelaskan keputusan kerajaan mahu meminda beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011, yang akan dibahaskan di Parlimen esok.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyifatkan rang undang-undang itu digubal dengan tergesa-gesa dan oleh itu, menggesa agar ia ditarik balik daripada dibahaskan.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk Suhakam juga mahu peruntukannya dikaji balik.

Najib (gambar) berkata notis 30 hari sebelum ini tidak bermakna makluman sebulan lebih awal diperlukan.

Katanya, orang ramai boleh berhimpun di tempat-tempat yang ditetapkan seperti stadium pada bila-bila masa dan polis tidak boleh menghalang ia daripada berlaku.

“Anda hanya perlu memaklumkan polis bahawa anda mahu mengadakan perhimpunan, sebenarnya anda boleh memaklumkan dalam tempoh 24 jam,” katanya lagi.

Sebagai contoh kata beliau, jika ada pihak mahu menagdakan demonstrasi membantah Israel jika ia menyerang atau dalam mana-mana situasi, anda boleh mengadakan satu perhimpunan di tempat yang dikhususkan.

Bagaimanapun di tempat-tempat yang tidak dikhususkan, hanya notis 10 hari diperlukan untuk pihak penganjur memaklumkan dan perbincangan diadakan dengan pihak yang tinggal di kawasan-kawasan yang terjejas dengan lokasi perhimpunan.

“Tindakan kami adalah perubahan besar berbanding keadaan semasa,” kata Najib.

“Dakwaan-dakwaan lain bahawa kita ini drakonian berbanding Myanmar dan sebagainya adalah mengarut, dan mereka hanya mahu mengelirukan orang ramai,” kata Presiden Umno ini.

Dalam kenyataannya kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata Kabinet telah memberi lampu hijau untuk meminda tujuh peruntukan dalam Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.

Keputusan itu diambil dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu, kata Nazri sambil menambah, “di mana kita telah memaklumkan kepada Pejabat Peguam negara iaitu rang undang-undang ini apabila dibahas hendaklah diberikan juga kesempatan membuat pindaan.”

“. . . pindaan setelah bacaan kali pertama dibuat dan dilihat dan dikaji oleh ahli-ahli Parlimen dan kalau sekiranya perlu ada pindaan yang dibuat maka ini hendaklah diberikan . . . pejabat Peguam Negara akur dengan kehendak jemaah menteri,” kata beliau.

Rang undang-undang itu yang digubal ekoran keputusan pentadbiran Najib memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis mendapat kritikan banyak pihak termasuk pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Salah satu pindaan yang dipersetujui ialah penganjur perhimpunan awam perlu memberi notis 10 kepada polis berbanding 30 hari yang diperuntukkan dalam rang undang-undang terbaru ini.

Selain itu di bawah pindaan yang disyorkan pihak penganjur akan dimaklumkan keputusan oleh polis dalam masa 24 jam berbanding 48 jam diperuntukkan dalam Seksyen 12(1).

Kritikan mendakwa rang undang-undang itu mengekang teruk kebebasan rakyat dan lebih teruk berbanding dengan persekitaran semasa.

Perubahan pendirian pentadbiran Najib itu, secara tiba-tiba dipercayai akibat tekanan pelbagai, diambil empat hari selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Tekanan dan kecaman berhubung rang undang-undang itu meningkat dan pengamal-pengamal perundangan dijangka mengadakan protes berkenaan minggu ini.

Esok, Majlis Peguam bercadang untuk mengadakan kempen Walk for Freedom 2011 membantah rang undang-undang itu dan menyerahkan memorandum syor pindaan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Tiada ulasan: