HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2011

RUU baru tak upaya sekat kebangkitan rakyat

Aslani M


KOTA BHARU: Tindakan tergesa-gesa kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman dan diluluskan semalam disifatkan sebagai tindakan terdesak bagi menghadapi kebangkitan rakyat.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang RUU tersebut pada 24 November lalu merupakan langkah mundur ke bekalang.

”Hakikatnya RUU yang baru dilulus itu lebih teruk berbanding Seksyen 27 Akta Polis. Di bawah akta lama denda dikenakan sebanyak RM2,000 jika sabit kesalahan.

“Manakala rang undang-undang yang baru diluluskan memperuntuk denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan sama,” katanya di sini.

Semalam parlimen meluluskan RUU Perhimpunan Aman biar pun ditentang hebat Pakatan Rakyat, Majlis Peguam dan pelbagai pihak lain. Anggota parlimen Pakatan bertindak keluar dewan sebagai membantah tindakan kerajaan BN.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang mempersoalkan kenapa kerajaan BN terlampau gerun dan bimbang menghadapi perhimpunan aman oleh rakyat.

Menurutnya perhimpunan aman yang diadakan tidak pernah mencetuskan masalah kecuali diprovokasi pihak tertentu.

Kata beliau di Kelantan, Pemuda Umno pernah mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim bagi menyerahkan memorandum isu Ladang Rakyat pada 16 Mei lalu.

”Saya turut menyaksikan perhimpunan tersebut dilaksanakan dan berjaya menyerah memorandum kepada pihak kerajaan negeri. Dalam hal ini kerajaan negeri bersikap terbuka,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau tidak ada sebab kerajaan menaruh bimbang terhadap perhimpunan aman yang dijamin haknya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, biar pun pelbagai undang-undang dicipta bagi menyekat kebebasan rakyat, namun kebangkitan mereka tidak dapat dibendung seperti berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa buah negara Arab lain.

”Kebangkitan rakyat menyaksikan jatuhnya kuasa-kuasa diktator apabila mereka terlampau meluat dengan sikap pemimpin yang berlindung di sebalik tembok kuasa,” tambahnya.

Tiada ulasan: