HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 November 2011

Perhimpunan Aman: Kaji balik peruntukan tak praktikal, kata Chandra


KUALA LUMPUR— Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) Dr Chandra Muzaffar mahu kerajaan mengkaji semula peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 termasuk keperluan tempoh notis wajib 30 hari atas alasan ia tidak praktikal dengan semangat akta baru itu.

Rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua kelmarin dan akan dibahaskan minggu depan.

Chandra (gambar) berkata peruntukan mewajibkan penganjur perlu memaklumkan pihak polis 30 hari sebelum perhimpunan tidak masuk akal.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengkaji semula rang undang-undang ini,” kata beliau selepas membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah & 1 Malaysia anjuran Biro Penerangan Umno hari ini.

Katanya, beliau bersetuju dengan penggubalan rang undang-undang itu tetapi ia perlu diteliti semula kerana memberi kuasa yang lebih kepada pihak polis.

Katanya lagi, malah ada peruntukan dalam rang undang-undang itu sudah ada dalam akta lain, jadi ia perlu dikaji semula.

“Ada yang baik tentang rang undang-undang ini supaya tidak perlu memohon permit polis serta tidak perlu mengheret kanak-kanak, tetapi kerajaan perlu meneliti beberapa frasa lain yang mengkongkong kebebasan rakyat,” katanya.

Terdahulu ketika membentangkan kertas kerjanya dalam seminar tersebut, kata beliau Malaysia merupakan contoh terbaik telah mengamalkan wassatiyah atau kesederhanaan.

“Pada keseluruhannya rakyat dan kerajaan Malaysia mendukung dan mengamalkan prinsip wasatiyyah yang telah termaktub dalam gagasan 1 Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, itu adalah kunci kejayaan negara kita dan inilah rahsia keamanan dan keharmonian kaum serta kestabilan masyarakat negara ini.

Tiada ulasan: