HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 November 2011

Bekalan air tidak cukup, tarif tinggi




PETALING JAYA: Sabah, sebuah negeri yang memiliki pertumbuhan populasi tertinggi dalam negara hanya mampu membekal 75 peratus sahaja keperluan air penduduknya, demikian menurut aktivis PKR Sabah, Joseph Wilfred Lakai.

“Sabah mempunyai bekalan air yang kedua terendah, hanya mampu membekal 75 peratus keperluan negeri dan kualiti diragui tetapi mengenakan tarif air yang paling tinggi dalam negara ini sehingga 90 sen setiap satu meter padu manakala pertumbuhan penduduk Sabah adalah paling tinggi iaitu 2.3 peratus.

“Jumlah penduduknya melonjak seramai 530,000 atau lebih 20 peratus dalam jangka masa lima tahun daripada 2.6 juta pada tahun 2000 kepada 3.13 juta pada 2005,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

Joseph turut mengaitkan pertumbuhan penduduk paling tinggi di negeri itu dengan isu pemberian kerakyatan kepada warga asing yang dinamakan sebagai ‘Projek M’ yang merujuk kepada Projek Mahathir.

“Sabah mempunyai bilangan terbesar pendatang tanpa izin dan mereka yang mempunyai IC tulen di bawah ‘Projek M’ yang dianggarkan hampir satu juta.

“Pertumbuhan luar biasa penduduk Sabah jelas kelihatan pada tahun 1960, penduduk Kadazandusun berjumlah 168,000 orang, bersamaan dengan jumlah penduduk Bumiputera lain.

“Pada tahun 2000, penduduk Kadazandusun Murut meningkat kepada 560,000 manakala penduduk Bumiputera lain bertambah kepada 1.1 juta,” katanya lagi.

“Keadaan ini menyebabkan kapasiti penggunaan air meningkat berkali ganda tetapi malangnya tidak banyak yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), baik di peringkat negeri mahupun persekutuan melainkan mengenakan tarif air yang tinggi,” katanya lagi.

Bekalan air paip graviti tercemar

Beberapa penduduk dari beberapa kawasan di negeri itu turut memberikan reaksi sama berkaitan isu bekalan air di negeri itu.

Mereka mendakwa bekalan paip air graviti yang dimulakan ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) mentadbir negeri itu pada tahun 70an dahulu masih digunakan sehingga kini dan kemungkinan membekalkan air yang tercemar.

“Tempat saya bekalan air paip memang menyedihkan…. yang ada cuma paip graviti yang dipasang kerajaan PBS pada tahun 70an dan hingga sekarang tidak diselenggarakan pihak yang sepatutnya.

“Orang kampung sahaja yang terpaksa kutip duit beli paip PVC untuk baiki kerosakan, sampai sudah semakin tenat.

“Sekarang punca air sudah ditebas jadi kebun sawit dan menyebabkan air bertambah kotor, keruh, kadang-kadang berpasir atau ada tanah dan mungkin mengandungi baja dan racun rumput,” beritahu Joseph Gasis.

Ben James, 20an, pula memberitahu masalah air yang dihadapi rakyat Sabah sudah terlalu lama berlarutan dan masih gagal diselesaikan oleh kerajaan.

“Sebelum saya lahir lagi sampai sekarang masalah bekalan air bersih tidak ada kesudahan, macam dahulu jugak. Sama dengan Jalan Ulu Kukut, Kudat-Kota Belud, semakin hari semakin meluat sama janji-janji kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Awang Sarip pula mengingatkan BN akan berhadapan dengan kemarahan rakyat dalam pilihan raya akan datang memandangkan masalah yang sama terus berlarutan.

“BN akan berhadapan dengan protes rakyat Sabah dalam pilihan raya nanti sebab masih gagal memberi kemudahan paling asas kepada rakyat walaupun dah memerintah negeri ini bukan baru dua tiga tahun tapi dah berpuluh tahun,” ujar beliau.

Adun DAP bangkit isu sama

Sebelum ini, dalam isu yang sama ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2012 Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Jimmy Wong dari DAP turut membangkitkan isu bekalan air di negeri itu.

Menurut beliau, Audit Air 2008 telah menunjukkan kualiti dan bekalan air di negeri ini tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan negeri.

“Penduduk berhak untuk mendapatkan air bersih. Kualiti air mentah agak buruk. Loji-loji rawatan air Sabah tidak dilengkapi peralatan, makmal dan kakitangan berkelayakan.

“Pemfloridaan tidak mencukupi. Pembersihan tangki-tangki atau kolam di loji tidak dijalankan dengan sempurna dan terancang.

“Tidak ada stesen percontohan air yang sempurna, program jaminan kualiti air Sabah tidak memuaskan dan semua ini adalah komen dalam Audit Air 2008.

“Tetapi di sebalik semua ini, Sabah merupakan antara negeri yang mengenakan tarif air yang tertinggi dalam negara ini,” ujar beliau.

Beliau turut memberikan contoh Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang dianggapnya terbaik dengan berusaha menghalang tarif air dinaikan oleh syarikat konsesi negeri terbabit dan turut membekalkan air percuma 20 meter padu kepada rakyatnya.

Tiada ulasan: