Salhan K Ahmad
Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke hari ini mempertikaikan lagi penjelasan kementerian pelancongan berhubung perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta untuk kempen media sosial.
Antara yang dipertikai Loke ialah bayaran untuk hadiah dan pertandingan untuk enam kempen dijalankan kementerian di laman tersebut.
Kos sebanyak RM558,432 itu termasuk bayaran untuk penghantaran hadiah.
Loke tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan kerana hadiah yang ditawarkan untuk kempen pertandingan itu didakwa tidak bernilai begitu tinggi.
"Hadiah tempat pertama hanya (komputer tablet) Ipad2. Berapa harga Ipad2? RM2,500? Berapa banyak Ipad2 yang diberikan?"
"Kalau hadiah untuk baucer mungkin boleh dihantar dengan pos? Adakah mereka hantar dengan limosin?" soalnya lagi.
Turut dibangkitkannya kali ini adalah bayaran sebanyak RM160,000 yang dibuat kementerian untuk "memberi kepakaran pengurusan media sosial."
Beliau mempertikaikan bayaran itu kerana pengurusan berkenaan tidak memerlukan kepakaran.
"Bagaimana dia hendak buat justifikasi kepada bayaran rundingan untuk sesuatu yang tidak memerlukan kepakaran?"
Jelasnya, tugas termasuk menguruskan tulisan di laman Facebook, menguruskan maklumat pelancongan dan memberi maklum balas kepada pengguna tidak memerlukan bayaran sebanyak itu.
"Tapi mungkin mereka gunakan kerani bertaraf menteri," katanya sinis dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas satu jawapan kementerian kepada satu soalannya di Dewan Rakyat bertarikh 23 November.
Jawapan oleh timbalan menteri, Datuk Dr James Dawos Mamit itu turut menjelaskan, bayaran untuk memberi maklum balas kepada pertanyaan pengunjung Facebook kementerian adalah sebanyak RM80,000 sebulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan