Zuraida Kamaruddin berkata calon ditampilkan mereka adalah hasil saringan dan kajian latar belakang yang ketat dan serius.
KONGRES WANITA PKR 2011
PETALING JAYA: Sejajar dengan usaha mencapai kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam parti, Wanita PKR tanpa menoleh ke belakang, bermatlamat untuk menampilkan calon berkualiti dan setia dalam mendepani Pilihan Raya Umum akan datang (PRU 13).
Ketuanya dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata calon ditampilkan mereka adalah hasil saringan dan kajian latar belakang yang ketat dan serius.
Menurut beliau, kelayakan dan darjat tinggi bukan ukuran yang menjamin kesetiaan dan kehebatan seseorang pemimpin dalam melayan kerenah rakyat dan akar umbi.
Beliau menegaskan perlu wujud keseimbangan di antara kedua-dua kategori itu supaya mampu melengkapi perjuangan parti.
“Wanita PKR sedar bahawa dalam mencapai matlamat ini, 1001 cabaran harus dipikul dan digalas sebaik mungkin.
“Maka Wanita PKR ingin meyakinkan pimpinan utama parti bahawa calon wanita yang akan diketengahkan pada PRU 13 nanti dipilih dari hasil saringan dan kajian latar belakang yang amat ketat dan serius.
Wanita harus siap-siaga
“Wanita harus sentiasa dalam keadaan bersiap-siaga untuk menghadapi detik gempur ini. Setiap perkiraan haruslah dibuat secara teliti.
“Ini merangkumi manifesto, pemilihan calon, kesediaan jentera, pengukuhan kewangan, rencana penerangan sehingga kepada strategi kempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengusulkan beberapa agenda penting, umpamanya Kerajaan Pakatan Rakyat mesti bersedia dan mampu menawarkan pilihan dasar yang mencapah dan fleksibel bagi menghadapi kepelbagaian isu, sama ada dari segi pemberdayaan diri dan peranan, mahupun perlindungan hak-hak wanita.
“Ini bermakna, setiap dasar yang digubal haruslah mengambil partipitasi suara dan pandangan wanita agar hak dan martabat golongan wanita di negara ini apat di angkat seadilnya,” terang beliau.
Zuraida juga mahu Pakatan Rakyat menjanjikan sebuah manifestasi pentadbiran kerajaan yang terbaik buat rakyat, khasnya golongan wanita.
“Maka, mewakili suara pimpinan Wanita PKR dan Wanita Pakatan Rakyat, kami mengharapkan khususnya pimpinan tertinggi PKR agar mempunyai ‘political will’ yang ikhlas dan jujur untuk melaksanakannya dan bukan sekadar omong-omong kosong sebagai halwa telinga semata-mata,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan