Laporan
Sinar Harian 19 Oktober lalu berkenaan seorang anggota polis ditahan
bersama tiga individu lain dalam Ops Cantas dan Ops Tapis.
TEMERLOH – Polis masih menyiasat pembabitan seorang anggota yang ditahan dalam serbuan Ops Cantas dan Ops Tapis pada Khamis lalu, sama ada terlibat dengan kongsi gelap atau sebaliknya.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, anggota terbabit bersama tiga rakannya yang ditahan bersama dadah dan senjata berbahaya akan direman sehingga siasatan ke atasnya selesai.
Menurutnya, sehingga semalam, polis masih tidak dapat mengesahkan penglibatan anggota terbabit dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada anggota terbabit benar-benar terlibat atau sebaliknya,” katanya sewaktu dihubungi semalam.
Pada Khamis lalu, seorang anggota polis yang bertugas di IPD Temerloh antara empat individu yang ditahan bersama sejumlah dadah dan senjata berbahaya dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Bahagia Indah di sini jam 8.50 malam.
Abdul Aziz berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 27 tahun dipercayai menganggotai kumpulan kongsi gelap berdasarkan rampasan lapan pedang samurai dan lima pistol mainan.
Menurutnya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis .38, gari dan lapan butir peluru hidup dalam serbuan itu.
“Polis juga merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil kuda dan satu alat penimbang digital dipercayai untuk pengedaran dadah.
“Kesemua mereka akan direman untuk siasatan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7 (1)(a) 1958 kerana memiliki senjata berjadual dan Seksyen 36, Akta Senjata 1960 kerana memiliki pistol tiruan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, anggota yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan dibekalkan kepada polis dan Seksyen 29 kerana gagal menjelaskan pemilikan.
Menurutnya, mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 39 A (1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan