HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Oktober 2013

K’jaan akur, tarik balik pindaan hukuman hina bendera, vandalisme

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Kerajaan menarik balik dua klausa dalam cadangan pindaan Kanun Keseksaan berhubung perbuatan menghina bendera Jalur Gemilang dan juga perbuatan vandalisme.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran mengesahkan perkara tersebut apabila menerima notis penarikan balik dua klausa berkenaan selepas perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Suren

 “Memang kami menolak penghinaan terhadap Jalur Gemilang, tetapi kami menolak hukuman yang terlalu berat kepada sesiapa yang dikatakan menghina negara,” kata Naib Presiden KEADILAN itu pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Kita tidak boleh menggunakan paksaan terhadap rakyat,” katanya yang turut menghargai penarikan semula dua klausa berkenaan, Klausa 5 dan 33 dalam Kanun Keseksaan.

Klausa 5 dalam rang undang-undang yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam antara lainnya menggariskan hukuman penjara mandatori 15 tahun dan denda untuk kesalahan memijak Jalur Gemilang atau apa-apa bendera negara lain dengan niat untuk menghina.

Klausa 55 pula menyatakan bahawa individu yang mengambil bahagian dalam perbuatan vandalisme, termasuk memasang kain rentang dan poster haram, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Surendran bagaimanapun berkata, Pakatan Rakyat tetap akan menentang pindaan terhadap klausa 11 yang memperuntukkan penjawat awam dilarang mendedahkan maklumat dalam kerajaan kerana ia menyamai Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Ia macam OSA baru untuk penjawat awam,” katanya dipetik The Malaysian Insider.

Isu penghinaan terhadap bendera Jalur Gemilang mula menjadi perhatian selepas beberapa individu mengibarkan Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.

Tiada ulasan: