Oleh Izmil Amri
BELUM. Pengaruh Mahathir belum berakhir. Malah barangkali
tidak akan berakhir. Ini hakikat yang kita kena terima dengan hati
terbuka. Mahathir memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun. Kita
membesar dengan mengenali ketokohan manusia ini, yang sampai kini pun
ada yang rasa dia masih lagi Perdana Menteri.
Kekalahan Mukhriz dalam lumba merebut jawatan Naib Presiden
UMNO tidak bermakna pengaruh Mahathir dan fungsinya dalam hala tuju
UMNO sudah berakhir. Bahkan sebenarnya kini semua mata menumpu kepada
Mahathir dan anakandanya yang tewas. Bukan kemenangan naib presiden lain
yang jadi bahan berita, tetapi kekalahan Mukhriz yang jadi laporan
utama.
Kekalahan Mukhriz jadi perkara yang lebih sensasi daripada
kemenangan Zahid Hamidi yang baru seminggu dua lalu kecoh dengan
kenyataan pelik yang dibuat di Melaka. Kita pakat lupa belaka dengan apa
yang disebut Zahid kerana kita lebih peduli dengan kekalahan Mukhriz.
Ini pelik politik Malaysia. Kita sendiri sebenarnya tidak
tahu apa kita mahu. Dan kita buat benda yang bukan-bukan hanya untuk
melihat apa kesudahannya nanti.
Kalau UMNO benar mahu dengar kata Mahathir, pastilah
Mukhriz yang dilantik, bukannya Hishammuddin. Meski undi popular
berpihak kepada Mukhriz, kita juga hampir pasti bahawa UMNO dan
juak-juaknya tidak akan mengatakan Mukhriz lebih layak kerana menang
undi popular. Itu sama seperti mahu kata Pakatan Rakyat patut jadi
kerajaan kerana menang undi popular.
Mukhriz kalah, ya kita semua sudah tahu. Tapi siapa sebenarnya yang menang?
Seperti ada yang ditulis orang, pemilihan UMNO kali ini
ialah perlawanan antara penyandang dengan pencabar. Sedikit berat
sebelah kerana perwakilan UMNO seringkali memperlihatkan sifat setia dan
memberi muka kepada penyandang, tidak kiralah betapa teruknya prestasi
sang penyandang.
Lihat
sahaja bagaimana Wanita UMNO tetap mengekalkan Kak Ijat sebagai
kapitannya, meski timbalannya dulu meroyan berkoyan-koyan sedih
dipanggil lembu. Sebut saja lembu teringat UMNO, sebut UMNO teringat
lembu. Sembelih lembu korban pun berdekah-dekah ketawa sambil pak imam
melawak kata tengah sembelih UMNO. Begitu pun dahsyat penghinaan
terhadap UMNO angkara ‘lembu’; Kak Ijat tetap juga dipilih kembali
menjadi Ketua Wanita.
Lihat pula penyandang jawatan Ketua Pemuda yang segak
bergaya. Kemudian lihat pula pembawakan pencabarnya. Aduh, liga berbeza.
Macam mana nak lawan? Lalu penyudahnya Khairy kekal di jawatan yang
sama. Yang mencabar satus quo akan nanti tercantas dan terhalang
kemajuan kerjaya politiknya. Demikian nasib politisi UMNO bergelumang
dalam real politiknya yang begitu ganas.
Namun berbalik kepada persoalan pokok. Suara Mahathir tidak
akan pernah padam, meski anakandanya tidak berjaya. Namun apa yang
lebih penting ialah suara apa sebenarnya yang mahu dibawa Mukhriz
sekiranya berjaya menjadi Naib Presiden? Kita pastinya masih teringat
kepada sidang media Mukhriz beberapa hari sesudah berakhirnya Pilihan
Raya Umum Mac 2008 yang menyaksikan Pak Lah seakan linglung dan ngawur
seketika setelah kehilangan majoriti dua pertiga.
Mukhriz antara yang kelihatan begitu terkedepan menuntut
Pak Lah bertanggungjawab atas kekalahan dan aib yang ditanggung UMNO
lantaran keputusan PRU Mac 2008 itu. Kita juga pasti masih ingat akan
kain rentang yang mendesak supaya Pak Lah meletakkan jawatan.
Pasca 2008 UMNO kelihatan bersungguh-sungguh mahu berubah.
Tak mampu reformasi, UMNO cuba transformasi. Transformasinya itu ke arah
apa, kita tak pula mengerti.
Menang
sahaja Khairy Jamaluddin jadi Ketua Pemuda, terbitlah dua tiga kerat
yang berkata hubaya hubaya, jaga-jaga dengan liberalisme bakal menular
UMNO? Jenuh juga saya garu kepala, rupanya ada liberal dalam UMNO, tapi
liberal yang ini bagaimana rupa bentuknya? Adakah liberal UMNO ini pro
LGBT? Kita tidak tahu.
Jadi kalau mahu berfikrah liberal dalam UMNO juga jadi
berdosa, maka transformasi yang diimpikan Najib Razak ini quo vadis
sebenarnya? Dari mana datangnya dan ke mana ia mahu pergi? Adakah masih
harus bergantung kepada wahyu Mahathir baru jelas hala tuju parti Melayu
ini?
Itu juga kita tidak tahu.
Apa yang kita tahu ialah pemilihan UMNO kali ini ialah
pemilihan yang tidak punya banyak pergulatan. Presidennya tidak berlawan
sesiapa, Timbalan Presidennya tidak berlawan sesiapa, dan penyandang
yang lainnya juga seolah-olah tidak berlawan sesiapa. Seolah-olah
pemilihan UMNO kali ini bertujuan mencantas siapa yang mereka tidak
suka, ketimbang memilih siapa yang sepatutnya berada dalam pucuk
pimpinan dalam rangka menuju PRU ke-14.
Ini yang tidak dijelaskan kepada orang UMNO. Atau
barangkali sengaja tidak dijelaskan supaya undi tidak beralih hala
selain kepada penyandang semata-mata demi mengekalkan status quo serta
saf kepimpinan yang sehingga saat ini masih gagal menunjukkan apa
sebenarnya agenda perubahan atau rangka kerja baru untuk Malaysia yang
lebih baik.
Dan Malaysia yang lebih baik sebenarnya adalah Malaysia yang bebas daripada nasihat dan bisikan Mahathirisme.
Membebaskan Malaysia daripada Mahathir bukan kerja mudah.
Bahkan amat renyah sekali kerana Mahathir seakan sepohon kayu rendang
yang cabang dahannya merimbun litup sekalian ceruk; akarnya pula
mencengkam seawal Tunku mahu dijatuhkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan