HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Oktober 2013

Pakatan cadang program 'rasionalisasi kos'

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan melancarkan program  'rasionalisasi kos' untuk setiap kementerian dan jabatan  kerajaan bagi mencapai pengurangan perbelanjaan operasi  sebanyak 10 peratus bertujuan menjamin perbelanjaan kerajaan  yang lebih efisyen dan teratur.

Perkara tersebut terkandung dalam Belanjawan Pakatan  Rakyat 2014 yang diumumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri  Anwar Ibrahim (gambar) di bangunan Parlimen hari ini.

Menurut beliau, program rasionalisasi kos ini dapat  dicapai melalui penangguhan sementara kenaikan elaun  menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Selain itu, polisi perbelanjaan kerajaan akan dikaji  semula terutama sekali dalam pemberian kontrak dan  prokumen peralatan.

"Pakatan akan memperkemaskan mekanisme subsidi sasaran dan  juga pengawalan barangan subsidi seperti diesel, petrol,  gula dan tepung bagi mengelakkan salahguna subsidi," kata  beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Anwar turut berkata, Pakatan akan mengkaji semula  keutamaan perbelanjaan dengan mengurangkan atau  menghapuskan perbelanjaan program-program yang tidak  berkesan dan kurang berkepentingan.

Memberi contoh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),  beliau berkata program ini gagal mencapai objektif memupuk  kesatuan kaum dan jati diri dalam kalangan pelatih-pelatih  walaupun menelan belanja tahunan RM800 juta yang lebih  besar daripada perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan  (RM700 juta).

"Program ini juga menyebabkan sebanyak 22 kematian sejak  penubuhannya dan sebilangan kes pelatih hamil yang bersalin  sewaktu dalam program, disebabkan perancangan dan  perlaksanaan program yang tidak baik.

"Program ini patut ditangguhkan sehingga satu kajian  menyeluruh dibuat melalui Jawatankuasa Pilihan Khas  Parlimen," tegas Ketua Umum PKR itu.

Tiada ulasan: