HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Oktober 2013

Darul Runtuh' rugikan wang, jejas wibawa


Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid


Keruntuhan bumbung masjid Tebauk dan beberapa bangunan awam di Terengganu sejak 2009 mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap tahap kawal selia dan penyelenggaraan agensi kerajaan yang terbabit dengan pembinaan bangunan, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Insiden bumbung dan bangunan runtuh tidak sepatutnya berlaku berulang kali jika kawal selia ketat dikuatkuasakan bermula dari proses meluluskan tender dan anugerah kontrak sehingga mengeluarkan sijil layak menduduki (CF).

Walaupun insiden runtuh dan pembinaan yang tidak berkualiti kebetulan nampaknya berlaku terus menerus di Terengganu, empat kejadian pada 2009 dan dua kejadian pada 2013, bumbung Hospital Serdang juga runtuh sehari insiden di Masjid Tebauk pada 30hb September lalu.

Soalnya apakah agensi kerajaan yang bertanggungjawab di seluruh negara tidak memastikan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan diikuti sepenuhnya oleh kontraktor yang dianugerahkan kontrak membina bangunan awam.

Kini sejak keruntuhan stadium di Terengganu yang tidak diperbaiki sehingga kini, diekori dengan keruntuhan bumbung di tiga masjid dan bangunan lain, belum jelas apakah tindakan yang diambil pihak berkuasa untuk membetulkan keadaan.

Walaupun hanya beberapa orang sahaja yang dilaporkan tercedera, apakah sehingga nyawa terkorban dan dilaporkan meluas di media baru pihak berkuasa akan bertindak lebih serius.

Benar sekali teguran anggota Parlimen Kuala Terengganu daripada PAS Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mempersoalkan kenapa kerajaan tidak bertindak sejak keruntuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2009.

Sehingga ini tidak ada yang diheret ke mahkamah yang menimbulkan tanda tanya rakyat.

Kini negeri Terengganu mendapat julukan "Darul Runtuh" yang memalukan kerana keruntuhan masjid seolah-olah menjadi ciri berterusan di Terengganu.

Kami berpendirian bahawa bukan sahaja isu kerugian jutaan ringgit semata-mata, tetapi juga seluruh wibawa agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal selia keselamatan semua bangunan awam yang sepatutnya ketat kini dipersoalkan.

Agensi yang sepatutnya memeriksa dengan teliti semua spesifikasi yang perlu dipenuhi kini sudah dipersoal professionalismenya.

Arahan menteri besar Terengganu supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sudah cukup menggambarkan sejak dari awal lagi terdapat kepincangan dalam pembinaan dan pemberian tender.

Ia sepatutnya dikesan dari awal.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden TERAS.

Tiada ulasan: