Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penganut agama Kristian di Semenanjung Malaysia masih boleh menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka meskipun selepas keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu.
Katanya keputusan itu hanya terpakai kepada akhbar mingguan Katolik, Herald, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menghuraikan lebih lanjut sewaktu kunjungannya ke Sabah tidak lama lagi.
"Keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak terpakai di Sabah dan Sarawak tetapi membabitkan kepada akhbar Herald sahaja.
"Mereka di Sabah dan Sarawak masih bebas menggunakan kalimah Allah," katanya semasa sidang media Pra-Pelancaran Festival Keamanan Global di Kuala Lumpur hari ini.
Menteri yang bertanggungjawab dalam perpaduan dan integrasi nasional itu turut bersetuju apabila ditanya pendapatnya sama ada kalimah Allah masih boleh digunakan dalam perhimpunan mingguan penganut Kristian di Semenanjung Malaysia.
Semasa menyampaikan ucapan di majlis itu juga, beliau menegaskan ketaksuban terhadap bangsa dan agama yang akan mencetuskan kemarahan dan masalah perpaduan di Malaysia harus dihentikan.
“Politik yang tidak stabil akan menyebabkan Malaysia tidak dapat mencapai status negara maju menjelang 2020 dan saya percaya tiada pihak yang mahu pristiwa hitam 13 Mei 1969 berlaku sekali lagi.
“Ketaksuban agama dan kaum bukan sahaja bertentangan dengan usaha pendamaian yang dicetuskan kerajaan malah turut bertentangan dengan Perlembagaan yang menjamin hak agama kumpulan etnik serta bahasa dan budaya sendiri.
"Pemimpin politik dan agama perlu lebih berhati-hati apa yang diucapkan supaya tidak mengundang sentimen perkauman yang boleh memecah-belahkan masyarakat," katanya.
Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu memutuskan kalimah Allah bukanlah perkara asas dalam kepercayaan Kristian dan penggunaan kalimah itu akan mengundang kekeliruan di kalangan umat Islam.
Agensi berita nasional, Bernama melaporkan hari ini keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
Najib berkata perkara yang terkandung dalam resolusi 10 perkara di peringkat Kabinet akan dikekalkan di kedua-dua negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan