HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Oktober 2013

PAS gesa tubuh JK Khas teliti belanja pertahanan

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen berhubung urusan pertahanan negara.

Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar berkata, jawatankuasa tersebut penting memandangkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 menunjukkan Kementerian Pertahanan melakukan pembaziran.

"Jawatankuasa ini akan dianggotai semua pihak di Dewan Rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang bagi meneliti perbelanjaan yang dikeluarkan dan bakal digunakan berkenaan hal ehwal pertahanan," kata beliau pada sidang media sewaktu pengumuman Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Bangunan Parlimen semalam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut berkata, Pakatan Rakyat juga mencadangkan Skim Insurans Petani, Nelayan dan Penternak (SIPNP) diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Skim ini untuk memberi perlindungan komprehensif kepada golongan luar bandar yang mempunyai pelbagai masalah, selain kejadian luar jangka seperti musim tengkujuh dan kemarau.

Ia meliputi pembiayaan antara kerajaan dengan nelayan dan petani yang dianggarkan mampu memberi manfaat kepada lebih 700,000 orang.

Selain itu, turut dicadangkan program khas kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang berpendapatan bawah RM1,200 sebulan bagi meringankan beban mereka.

Tiada ulasan: