Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperkenalkan semula kuasa penahanan tanpa bicara untuk mengekang jenayah kerana tidak menjangka kesan daripada pemansuhan undang-undang yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, perdana menteri tentunya tidak menjangka bahawa program transformasi yang antara lainnya melibatkan pemansuhan undang-undang Ordinan Darurat 1969, menyebabkan kenaikan kadar jenayah.
"Ya dia berjanji (hapus kuasa tahan tanpa bicara) tapi dia tak jangka jenis-jenis jenayah yang telah dilakukan selepas undang-undang itu dimansuhkan.
"Awak pun tak jangka, saya pun tak jangka.
"Lihat jenayah yang berlaku - kita berjalan pun sudah tak selamat lagi," katanya sewaktu diminta mengulas pagi ini mengenai pindaan ke atas undang-undang Akta Pencegahan Jenayah.
Pengorbanan yang perlu dibuat
Mengulas lanjut, Mahathir berkata kewujudan undang-undang sedemikian adalah pengorbanan yang perlu dibuat sekiranya kita mahu kekal bebas.
"Kita perlu berkorban, kita mahu bebas tetapi kebebasan ada hadnya.
"Ia akan jadi anarki jika kita tiada had dalam kebebasan," katanya lagi.
Mahathir secara sinis juga berkata yang beliau yakin kerajaan akan memansuhkan pindaan kepada undang-undang baru itu, seperti yang dilakukan ke atas ISA, sekiranya orang ramai berkelakuan baik.
"Saya rasa jika kita berkelakuan baik, mereka boleh memansuhkannya, seperti mereka memansuhkan ISA," katanya lagi.
Dr Mahathir ditemui pemberita selepas merasmikan World Chinese Economy Forum anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) pagi tadi.
Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah, diluluskan di Dewan Rakyat tengah malam tadi.
Usaha wakil rakyat pembangkang untuk menggagalkan kelulusan rang undang-undang itu tidak berjaya apabila ia diluluskan dengan suara majoriti daripada penyokong kerajaan pada 12.50 malam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan