Dalam kenyataan hari ini, Abdul Gani berkata selagi budi bicara itu dilaksanakan secara mengikut undang-undang, wajar, rasional dan mengikut kadarnya, maka mahkamah tidak akan campur tangan terhadap budi bicara menteri berkenaan dalam perkara ini.
"Jabatan Peguam Negara menasihati orang ramai supaya menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada perbuatan menghina mahkamah," katanya.
Abdul Gani membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap penghakiman pada 14 Oktober yang membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 31 Disember 2009.
Mahkamah Tinggi itu meluluskan permohonan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (Titular) bagi mendapatkan semakan semula kehakiman terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Jan 2009, yang melarang Titular daripada menggunakan perkataan 'Allah' dalam teks bahasa Melayu majalah Herald.
Abdul Gani menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu hanya terhad kepada penerbitan teks berbahasa Melayu dalam majalah tersebut.
Menurut beliau, dalam perenggan 30 penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membuat keputusan bahawa Al-Kitab dan majalah itu adalah dua penerbitan yang berbeza sama sekali.
"Al-Kitab adalah versi Bible dalam bahasa Melayu bagi kegunaan penganut Kristian di gereja, manakala Herald adalah akhbar dalam talian yang boleh diakses oleh pembaca beragama Islam dan bukan Islam," katanya.
"Hakim itu seterusnya menyatakan bahawa oleh itu, kebenaran yang diberi menteri berkenaan bagi percetakan dan penerbitan Al-Kitab, yang mengandungi perkataan 'Allah', tidak boleh diambil kira sama seperti yang merujuk kepada Herald," kata Abdul Gani.
Beliau berkata Mahkamah Rayuan dengan sebulat suara memutuskan bahawa perlindungan dari segi perlembagaan yang diberi kepada seseorang dalam mengamalkan agamanya, terhad kepada amalan yang integral dan menjadi bahagian penting bagi sesuatu agama.
"Mahkamah itu memutuskan bahawa penggunaan perkataan 'Allah' dalam versi bahasa Melayu Herald, bagi merujuk kepada 'Tuhan', bukan merupakan bahagian integral atau bahagian penting dalam agama Kristian dan oleh itu, tidak mewajarkannya diberi jaminan di sisi perlembagaan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan," jelas beliau. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan