Oleh Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dibidas kerana melantik dua perunding yang cenderung menyokong TPPA untuk menyediakan Kajian Kos Manfaat (CBA) yang penting terhadap negara dan rakyat Malaysia.
Jurucakap Gabungan Bantah TPPA (Bantah), Mohd Nizam Mahshar (gambar) mendedahkan dua perunding tersebut ialah Institut Pengajian Antarabangsa dan Strategi (ISIS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju).
“Tugas ISIS menyediakan CBA mengenai kepentingan nasional, manakala Teraju pula menyediakan CBA terhadap bumiputera dan industri kecil dan sederhana (SME)
“Apa yang patut kita fahami ialah, perunding yang dilantik bagi mengendalikan CBA mestilah yang mempunyai kredibiliti dan neutral dalam memberikan pandangannya,” ujarnya dalam sidang media di pejabat Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Kata Nizam, pegawai ISIS, Firdaus Rosli turut didapati menyokong TPPA berdasarkan artikelnya yang tersiar dalam akhbar harian berbahasa Inggeris bertarikh 13 Ogos 2013.
Manakala Teraju didapati melantik konsultan dan felo dari Institut Perdagangan Dunia (WTI) yang diketahui sebagai pelobi perdagangan bebas dan pro-TPPA.
Tambahnya soalan tinjauan yang dikemukakan ISIS terhadap pihak berkepentingan terpilih gagal mengikut taraf kaedah penyelidikan antarabangsa selain terlalu ringkas dan tiada fokus.
“Buktinya ialah dalam satu soalan yang dikemukakan, sama ada TPPA memberi manfaat atau kekacauan terhadap kepentingan China,” ujarnya.
Justeru, Nizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MTEM mendesak MITI membentuk semula sebuah CBA dengan menggantikan perunding sekarang dengan kumpulan penyelidik lain yang diiktiraf dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan