Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir seharusnya berbangga dengan keputusan pemilihan Naib Presiden Umno meskipun tewas, kerana beliau berjaya menjadi pencabar sengit kepada kedudukan penyandang kerusi berkenaan, kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar).
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pertandingan enam penjuru berkenaan adalah pertama kali untuk Mukhriz dan beliau berjaya mengejutkan banyak pihak dengan perbezaan hanya sembilan undi di belakang penyandang Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
"Perbezaan undi beliau sangat kecil. Walaupun pertama kali bertanding tetapi beliau hampir menang," kata Muhyiddin dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
"Beliau menang dalam kekalahan," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi, dan menambah itu adalah kemenangan peribadi untuk Mukhriz.
Pandangan Muhyidin selari dengan tulisan rencana dalam Mingguan Malaysia hari ini.
Zulkiflee Bakar dalam tulisannya berkata, biarpun gagal menempatkan diri dalam barisan Naib Presiden namun Mukhriz berjaya melalui slogannya "Berani Berubah" dek sokongan yang dilihat cukup kuat dalam Umno.
Mukhriz dikatakan gagal hanya kerana faktor jumlah yang tidak dapat melonjakkan Mukhriz memecahkan status quo itu seterusnya menempatkan diri dalam senarai Naib Presiden.
Kekalahan Mukhriz itu dipuji kerana berjaya memberi tentangan hebat kepada Hishamuddin sehingga mengubah kedudukan kepada nombor tiga dalam senarai Naib Presiden.
Ia dapat dibuktikan apabila sebahagian barisan Puteri Umno menunjukkan tanda sokongan kepada Mukhriz di pemilihan Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, semalam.
Muhyiddin bagaimanapun menolak spekulasi mengatakan status Facebook palsu yang didakwa miliknya menjadi punca kepada kekalahan Mukhriz.
"Status Facebook palsu itu tidak beri kesan. Perwakilan bijak menilai," katanya.
Keputusan pemilihan malam tadi menunjukkan Mukhriz memperolehi 91 undi Bahagian manakala Hishamuddin mendapat 100 undi.
Manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal menang selesa dengan masing-masing memperolehi 185 dan 174 undi.
Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad bagaimanapun sekadar berpuas hati dengan masing-masing berkongsi tujuh undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan