HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Oktober 2013

Operasi bawah ISA jadikan M'sia aman, kata MP

 


 

MP Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar mendakwa Malaysia tidak akan menjadi negara aman sekiranya Ops Lalang tidak dijalankan pada tahun 1987.

Beliau mendakwa wujud ancaman bahawa rusuhan kaum, sebelum Ops Lalang dijalankan – yang menyaksikan 106 orang ditangkap.

"Ini kerana orang bukan Melayu mempersoalkan hak orang Melayu," kata bekas menteri kabinet tersebut ketika membahas rang undang-undang pindaan ke atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pindaan tersebut bertujuan untuk meletakkan kesahan jenayah terancang sebagai kesalahan yang boleh dihukum mengikut Sosma.

"Rusuhan kaum hampir berlaku pada 1987. Malah ada di antara kawan-kawan saya yang ditahan," kata Noh.

Noh berkata, beliau masih muda pada masa itu dan turut terlibat dalam satu perhimpunan besar di Stadium Merdeka.

Ahli politik Umno juga ditahan dalam operasi tersebut, katanya yang merujuk kepada timbalan menteri pertanian Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

"Sebab itu kita perlukan Sosma, kerana ISA sudah tidak ada lagi," kata Noh.

Beliau juga menyifatkan kumpulan gengster sebagai "ancaman baru" kepada negara.

"Sebagai contoh, jika seorang (gengster) mati, akan ada perarakan besar. Malaysia menjadi negara koboi. Ini mewujudkan ketakutan di kalangan orang ramai," katanya.

Kenyataannya itu disambut oleh seorang MP Pakatan Rakyat, Hanipa Maidin (PAS-Sepang) yang meminta Noh berhujah dengan fakta.

Beliau meminta Noh mendedahkan dalang sebenar di sebalik ketegangan kaum yang melanda negara sebelum operasi lalang dijalankan.

"Siapa yang kata mereka akan mandikan darah orang Cina dengan keris?," soalnya.

Kenyataan Hanipa itu menyebabkan Dewan riuh apabila para MP bangun dan bertengkar sehingga menyebabkan timbalan speaker Datuk Isamil Said menangguhkan persidangan untuk rehat tengahari.

Tiada ulasan: