|
Pengerusi Lanjah Undang-undang dan Guaman PAS Pusat Asmuni Awi berkata, cadangan Seksyen 9(5) dan Seksyen 9A(2) menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perkara 5(3) dalam Perlembagaan Persekutuan.
Asmuni yang juga seorang peguam turut berkata, Lembaga Pencegahan Jenayah (Lembaga) yang menyemak laporan-laporan siasatan terhadap tahanan bukanlah badan bebas.
Hal ini menyebabkan tahanan akan mengalami nasib yang sama dengan tahan ISA iaitu hak untuk membela diri dinafikan.
"Lembaga akan menyemak rekod tahanan yang ada tapi sejarah membuktikan bahawa tidak ada tahanan yang mendapat faedah daripada semakan yang dijalankan oleh lembaga itu.
"Mereka tetap ditahan walaupun mereka buat reprentasi dan sebagainya, tetap tak berkesan. Pada saya itu kosmetik sahaja sebagai langkah untuk mengaburi kita bahawa mereka diberi peluang membela diri dan mengemukakan kes mereka untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa. Tapi tak banyak yang diberi pertimbangan atas reprentasi itu sendiri," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.
Suhakam berpendapat peruntukan tersebut mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, Asmuni meminta kerajaan agar tidak meneruskan pindaan PCA yang tidak menggambarkan transformasi seperti yang diwar-warkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan