HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 Oktober 2013

KWAP rugi RM209.55 juta labur dalam TdC

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dalam saham TIME dotCom Berhad (TdC) menyebabkan KWAP menanggung kerugian sebanyak RM209.55 juta.

Laporan Ketua Audit Negara memberitahu jumlah kerugian tersebut atas jualan saham TdC sepanjang tahun 2007 sehingga 15 Mac 2013.

Pelaburan Portfolio Khas saham TdC telah dibuat pada bulan November 2001 melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) TdC sebanyak 273.86 juta unit saham dengan kos berjumlah RM903.75 juta pada nilai IPO RM3.30 sesaham.

Mengikut Polisi dan Garis Panduan Pelaburan, penjualan sahan yang rugi hendaklah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan.

Ketua Jabatan Ekuiti juga boleh mencadangkan kepada Jawatankuasa Pelaburan untuk penjualan sahan yang mencatatkan rugi belum direalisasi melebihi 20 peratus secara konsisten melebihi enam bulan.

Semakan Audit mendapati Panel Pelaburan telah meluluskan penjualan unit sahan TdC secara berperingkat pada harga minimum RM0.90 sesaham.

Keputusan ini dibuat berikutan prestasi saham TdC yang tidak memuaskan dengan mencatatkan nilai pasaran lebih rendah daripada nilai IPO.

Semakan Audit turut mendapati KWAP tidak menerima pulangan dividen sepanjang pemilikan sahan TdC sehingga 15 Mac 2013.

KWAP hanya menerima capital repayment pada 30 Mei 2012 berjumlah RM3.65 juta berikutan aktiviti penstrukturan semula modal berbayar TdC.

Laporan Ketua Audit berpendapat, pelaburan KWAP dalam saham TIME dotCom Berhad menyebabkan KWAP menanggung kerugian kerana kejatuhan harga saham, tiada pulangan dividen, kerugian belum direalisasi yang tinggi serta rugi atas penjualan saham TdC.

Tiada ulasan: