HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 Oktober 2013

Proton Perdana dihenti, kos tinggi tiada cita rasa

HARAKAH DAILY


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa syarikat Perusahaan Automobil Nasional (Proton) telah menghentikan pengeluaran kereta jenis Perdana sejak 2010 kerana kos yang tinggi dan tidak menepati cita rasa semasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabagsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri memaklumkan demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Bagaimanapun katanya, model baru bagi menggantikan kereta itu sedang dibangunkan dan akan menggunakan platform Honda Accord.

Terdahulu, Nawawi dalam soalannya menanyakan adakah benar kerajaan telah memberhentikan pembuatan kereta Proton Perdana.

Beliau juga mahukan penjelasan adakah kerajaan akan menggantikan kenderaan rasmi kerajaan kepada Honda Accord kerana ianya menunjukkan kerajaan tidak menyokong syarikat Proton sebagai syarikat kereta nasional.

Menjawab soalan kedua itu, timbalan menteri berkata, keputusan untuk menggunakan Honda Accord menggantikan Perdana tidak bermakna tidak mengiktiraf Proton, kerana Proton telah menjalinkan kerjasama dengan Honda untuk membangunkan model baru Perdana.

Sebelum ini, Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pengunaan platform Accord dilihat lebih pratikal, kerana terdapat beberapa spekfikasi yang sama serta mampu menjimatkan kos pengeluaran.

Tiada ulasan: