Subsidi bahan api adalah tindakan yang tidak cekap, tidak produktif dan membazirkan sumber negara, kata Ketua Ekonomi Kumpulan RAM Holdings (RAM), Dr Yeah Kim Leng.
Beliau berkata, ini disebabkan oleh ketidakcekapan itu menjurus kepada penyeludupan serta aktiviti haram yang lain.
Katanya, contoh terbaik ialah kejayaan Unit Pencegah Penyeludupan Negeri Kedah yang baru-baru ini berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 27,300 liter diesel subsidi bernilai RM54,600 ke Thailand.
Yeah berkata, dengan menurunkan harga, subsidi tidak menggalakkan pengguna untuk berhemat dalam perbelanjaan serta proaktif dalam pemuliharaan tenaga.
"Subsidi juga membazir kerana kerajaan boleh menggunakan kira-kira RM24 bilion yang dibelanjakan untuk subsidi tahun ini bagi mengurangkan defisit fiskal.
"Ia juga boleh dilaburkan untuk aktiviti yang lebih produktif, pertumbuhan menggalakkan dan mewujudkan pekerjaan seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan projek pembangunan keusahawanan," katanya.
Yeah berkata, saiz hutang kerajaan kini menghampiri siling 55% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Jika subsidi tidak dikurangkan, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan untuk bidang lain seperti pertahanan, pendidikan, kesihatan dan program sosial.
"Kebanyakan subsidi umum ke atas makanan seperti gula, tepung dan beras boleh dimansuhkan dan digantikan dengan makanan sasaran dan dibangunkan dengan baik, atau program sokongan pendapatan untuk golongan berpendapatan rendah," katanya.
Beliau berkata, subsidi bahan api pada asasnya melindungi pengguna daripada harga bahan api dunia yang semakin meningkat.
Katanya, ini dilakukan dengan kerajaan mensubsidi perbezaan antara harga di pasaran dunia yang lebih tinggi dengan jumlah dibayar oleh pengguna di pam atau tong gas untuk memasak.
"Subsidi itu membantu pengguna menangani kenaikan harga bahan api dalam pelbagai bentuk.
"Dengan harga yang lebih rendah, pengguna boleh menjimatkan perbezaan atau membelanjakannya untuk barangan lain dan secara keseluruhannya, subsidi membantu ekonomi dalam mengurangkan inflasi dengan menyerap kejutan harga minyak," katanya.
Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan harga baharu bagi petrol RON95 dan diesel, sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi subsidi. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan