PUTRAJAYA: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) setakat ini mengarahkan 7 tapak pembinaan ditutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata CIDB sehingga kini sudah memeriksa 6,000 tapak pembinaan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 934 tapak binaan didapati mematuhi SOP dan 224 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.
“Sebanyak 4,815 tapak binaan belum beroperasi,” katanya dalam taklimat harian.
Caj RM1 pengeluaran wang di ATM
Ismail berkata, kerajaan masih mengekalkan pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran wang di semua mesin juruwang automatik (ATM), walaupun waktu operasinya kembali normal mulai hari ini.
Setakat hari ini, katanya, tiada perbincangan atau permohonan daripada bank berhubung caj RM1 itu.
“Oleh itu, pengecualian RM1 dikekalkan dan tiada perubahan.”
Semalam, Ismail mengumumkan waktu operasi ATM kembali beroperasi seperti biasa mulai hari ini sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Sejak 19 April lalu, waktu operasi ATM dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam bagi menghalang orang ramai menggunakannya sebagai alasan untuk keluar lewat malam ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Kementerian Kewangan bersetuju mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran wang di semua ATM mulai 6 April lalu sehingga tamat PKP.
Kedai gunting rambut dilarang operasi
Ismail berkata, kerajaan masih melarang kedai gunting rambut memulakan operasi kerana SOP sedang disediakan bersama Kementerian Kesihatan.
“Setakat ini belum dibentangkan dalam mesyuarat khas menteri-menteri.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan