HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

Anggota penguat kuasa bersekongkol bawa masuk PATI diburu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap ketika
sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan berusaha menghapuskan rangkaian dari atas hingga ke akarnya.

Menerusi Op COVID-19 Benteng, PDRM kini dalam fasa memburu anggota penguat kuasa yang bersekongkol selepas menangkap dan memburu ketua sindiket termasuk tekong, ejen, pengangkut migran dan pengendali rumah penampungan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata operasi memburu anggota penguat kuasa yang terbabit dalam kegiatan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Setakat ini kita sudah mengenal pasti identiti mereka dan akan menjalankan tangkapan selepas segala maklumat dilengkapkan.

"Pada masa ini, kita tidak dapat mendedahkan identiti mereka serta agensi mereka bertugas, namun akan diberitahu selepas siasatan ke atas mereka dilakukan," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, petang tadi.

Huzir berkata tindakan penguat kuasa terbabit sebenarnya boleh membahayakan keselamatan rakyat negara ini berikutan wabak COVID-19 mudah ditularkan oleh PATI dan migran.

Tiada ulasan: