RIYADH: Arab Saudi mengumumkan ibadah haji akan diadakan secara terhad berikutan bimbang ia boleh menjadi faktor terbesar kepada penyebaran pandemik COVID-19 apabila ramai jemaah bersesak-sesak nanti.
Namun begitu, kerajaan Arab Saudi setakat ini masih belum menentukan jumlah jemaah haji, yang pada tahun lalu dihadiri kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah itu yang juga satu daripada Rukun Islam.
"Ibadah haji pada tahun ini diputuskan dengan hanya jumlah yang terhad untuk memastikan ibadah ini dilaksanakan dengan selamat dari perspektif kesihatan umum dan menurut ajaran Islam berkaitan dengan keselamatan nyawa," Saudi Press Agency memetik kenyataan Kementerian Haji Arab Saudi.
Pengumuman itu secara tidak langsung pastinya memberi kekecewaan kepada jutaan bakal jemaah di seluruh dunia yang menabung dan menunggu senarai yang lama untuk berpeluang menunaikan haji.
"Arab Saudi sudah memilih cara yang paling selamat kerana tidak mahu berkompromi apabila berkaitan dengan kesihatan awam.
Namun pelbagai persoalan timbul seperti jumlah jemaah dibenarkan, kriteria dan berapa banyak rakyat Saudi dan bukan rakyat Saudi dibenarkan," kata pelawat di Royal United Services Institute di London, Umar Karim.
"Tahun ini sangat sukar dengan beberapa bencana terjadi hingga memberi kesan penurunan keuntungan dari semua sektor antaranya minyak, pelancongan, penggunaan domestik dan kini umrah serta haji kepada Arab Saudi," kata seorang sarjana di American Enterprise Institute, Karen Young.
Awal bulan ini, Indonesia iaitu negara yang memiliki populasi penduduk Islam terbesar dunia menangguhkan ibadah haji, diikuti Malaysia, Senegal dan Singapura.
Angka kes COVID-19 di Arab Saudi kini meningkat kepada 161,000 kes dengan 1,300 kematian dicatatkan setakat ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan