HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Jun 2020

DSAI Di Penghujung Karier


Presiden PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak wajar sekadar menjadikan kritikannya terhadap 100 hari pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai rungutan di media sosial semata-mata. Jika beliau pejuang reformasi tulen yang sedia melawan secara anak jantan demi komitmen kepada kebertanggungjawaban dan integriti, sila kemukakan bukti dan laporan kepada pihak berkuasa. Sekiranya tidak, ianya hanyalah 'omong' kosong Anwar yang menagih perhatian seakan penglipur lara hanyut di samudera luas.

Sudah-sudahlah dengan retorik politik yang hanya membuatkan rakyat mual atau mungkin menjadi ketawa sinis mereka. Buruknya jika rakyat yang celik melihat ini sebagai babak drama politikus hingga menghilangkan kepercayaan kepada politik. Perkara dihadapkan adalah serius. Anwar mendakwa wujud cengkaman dan pengaruh politik, membeli dukungan, pecah amanah, ketidaktelusan dan pembelaan terhadap jerung politik. Namun jika sebaliknya, bermakna Anwar telah melontarkan tuduhan dan hasutan. Ia tentunya tidak lain adalah bermotif politik dan kepentingan yang sempit.

Negara kini perlu kestabilan untuk keharmonian hidup rakyat yang majmuk serta memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan pembangunan, selain mencapai pengiktirafan dan prestij dunia. Oleh itu, hentikan hiruk-pikuk dan momokan politik tiada arah tuju itu sebaliknya gunakanlah pengalaman lampau untuk membantu negara menjadi lebih baik di era COVID-19 ini.

Nasihat saya pada Dato' Seri Anwar, bermuhasabahlah. Lihat kembali kebobrokan dilakukan sepanjang kurang 2 tahun pemerintahan PH yang akhirnya diruntuhkan antaranya akibat keghairahan Dato' Seri sendiri mahukan jawatan Perdana Menteri. Pandanglah wajah kekecewaan rakyat melihat rakusnya PH melakukan perubahan politik dengan mencabul asas-asas negara dan memungkiri janji.

Jangan ditutup walau sebelah mata terhadap banyaknya kesangsian dan skandal melibatkan keraguan terhadap pemimpin PH dalam salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Bukankah ini 'deafening silence' paling nyata? Bahkan PH meletakkan individu tidak sepatutnya di jawatan-jawatan penting agensi penguatkuasaan dan pelaksanaan itulah sebenar-benarnya 'scheme of things' seperti yang Dato' Seri dakwa.

Tidak perlu Dato' Seri mencalarkan dan mempertikai wibawa jentera perkhidmatan awam dengan skeptikal kebocoran dan ketirisan. Lihat kembali angka besar kononnya hutang negara yang dijaja, malangnya satu persatu harta negara dijual gadai sepanjang koalisi Dato' Seri bersama PH berkuasa. Akuilah, zaman Dato' Seri sedang menghampiri penghujungnya.

Dr Ismadi Abd Samad
Facebook

MR :  Setuju


Tiada ulasan: