WANITA hamil dua bulan antara 83 penagih dadah yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi Ops Total Enforcement (TE) II tengah malam tadi.
Wanita berusia 37 tahun itu dan mempunyai tujuh anak berusia antara 12 bulan hingga 18 tahun itu ditahan bersama teman lelakinya berusia 43 tahun di kawasan Mergong di Alor Setar dalam operasi bermula 12 tengah malam.
Dia memberi alasan terjebak dengan dadah selepas berpisah dengan bekas suaminya dan menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya yang juga seorang penagih dadah.
Menurutnya, enam daripada anaknya adalah hasil perkahwinannya sebelum ini manakala anak bongsunya yang berusia 12 bulan adalah anak hasil hubungan sulitnya dengan teman lelakinya itu.
"Saya ambil dadah jenis heroin dua kali sehari dan memperoleh bekalan daripada teman lelaki walaupun tidak banyak tetapi cukup untuk melepaskan gian.
"Sudah mahu berhenti kerana ketagih sampai sekarang," katanya ketika ditemui di pejabat AADK Kota Setar/Pokok Sena hari ini.
Operasi itu tertumpu di sekitar Kuala Muda, Kubang Pasu, Pokok Sena / Kota Setar dan Kuala Kedah.
Pengarah AADK Kedah Mohd Rizal Tawil berkata, operasi itu bermula sejak 22 Jun lalu dan masih berjalan setakat ini untuk mengesan penagih dadah yang bergiat aktif di negeri ini.
"Jumlah keseluruhan individu yang ditahan sejak 22 Jun lalu hingga hari ini adalah seramai 187 orang dan hanya 165 orang daripadanya disyaki penagih dadah berdasarkan ujian saringan awal air kencing yang diambil.
"Daripada jumlah itu, 156 orang adalah lelaki manakala lima lagi wanita yang kesemuanya berusia antara 13 hingga 50-an," katanya.
Mohd Rizal berkata, dua remaja lelaki berusia 13 dan 15 tahun yang ditahan sudah tidak bersekolah dan yang lain kebanyakannya hanya bekerja biasa.
Menurutnya, 11 daripada yang ditahan itu termasuk pengedar dadah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kesemua kes akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 Pindaan 1988.
"11 kes yang diserahkan kepada polis disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (dua kes), Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (7 kes), Seksyen 39C ADB 1952 (1) dan satu kes Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan