
KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) didakwa menjadi mangsa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya kerana alasan kekeliruan tentang kelayakan akademiknya.
Datuk A. Kadir Jasin mendakwa, kekeliruan itu timbul apabila ijazah Jalil diperoleh dari University of London (UoL) tetapi beliau didakwa memaklumkan sebagai London School of Economics (LSE).
Sedangkan, katanya, ada pihak yang menyatakan kesilapan itu adalah masalah semantik sahaja kerana LSE adalah salah satu daripada 17 kolej di bawah University of London.
Kadir berkata, Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah dipanggil oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada hari Jumaat lalu dan menuntut agar Jalil dipecat pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun, Zeti menolak cadangan tersebut.
Bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Kerajaan Pakatan Harapan itu menambah, alasan itu sebenarnya belum cukup untuk Kerajaan PN untuk menamatkan khidmat Jalil.
”Sesiapa yang berpendidikan Inggeris, anda akan tahu bahawa tidak ada individu yang menggunakan University of London yang merupakan institusi penyatuan. Sekiranya anda belajar di LSE, anda menggunakan LSE,” ujarnya.
Lagipun, tambah beliau, Jalil tidak mempunyai masalah dengan lesennya yang diperoleh dari pengawas selia di Hong Kong, Singapura dan United Kindom.
”Mereka akan membatalkan lesen sekiranya mereka mendapati Jalil memberi tafsir yang salah terhadap dirinya kerana piawaian mereka lebih ketat daripada standard kita,” katanya.
Kadir berkata, Jalil juga mempunyai lesen Suruhanjaya Sekuriti sebelum ini, ketika beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di Aberdeen Asset Management di Malaysia.
Tetapi, katanya, seperti profesional lain yang dilantik semasa pentadbiran PH, Jalil juga ditolak oleh Muhyiddin dalam Kerajaan PN selepas Presiden PNB itu ‘membersihkan’ kekotoran yang dilakukan dalam era BN.
Ia termasuk perjanjian yang tidak menguntungkan PNB dan pemegang saham Bumiputera.
Kadir mendakwa, ‘pembuangan’ Jalil dilakukan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, juga individu yang mengetuai Khazanah dan Yayasan Pelaburan Bumiputera.
Katanya, jika begini cara layanan yang diberikan ke atas profesional Melayu, tidak ada ada lagi profesional muda Melayu mahu berkerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan