TUN M tidak pernah memberi laluan pada DSAI
Gelagat
pihak pembangkang PH Plus berkenaan calon Perdana Menteri (PM) jika
mereka berjaya menawan kembali Putrajaya semakin jelas mendedahkan sikap
sebenar antara Tun Mahathir (Tun M) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI)
yang berkonflik sejak 20 tahun dahulu. Sama ada konflik ini sewaktu
kedua-dua mereka berada di dalam satu bahtera Umno ketika dahulu,
sehingga tertubuh PKR dan sewaktu bergabung dalam Pakatan Harapan (PH)
dan kini pula dijenamakan dengan PH Plus.
Sejujurnya sikap Tun M
tidak akan pernah bersetuju dengan ‘kemaruk’ jawatan DSAI yang
menginginkan posisi PM sejak dahulu sehinggalah sekarang. Sama ada dalam
hubungan kepura-puraan ‘berkawan’, ‘bermusuhan’ serta ‘rakan
perbincangan’ Tun M sentiasa mendahului dengan kedegilan dari memberikan
tempat kepada DSAI untuk menjadi PM.
Apa pun yang berlaku,
realitinya Tun M ‘lebih geliga’ dari DSAI dan sentiasa di hadapan DSAI
sejak dahulu lagi. Ini yang menjadikan kenyataan DSAI dengan tegas tidak
mahu lagi Tun M sebagai calon PM yang baru apabila menyatakan secara
jelas ‘mencurigai’ hasrat Tun M untuk menjadi calon PM selama 6 bulan
sebelum menyerahkan kuasa jika PH Plus memerintah kembali.
Calon PM pun gagal, apatah lagi tadbir negara
Terbaru, apabila pertembungan kenyataan antara parti komponen dalam PH Plus yang menyaksikan blok yang menyokong Tun M sebagai calon PM kalangan DAP dan PAN, manakala blok penyokong DSAI sebagai calon PM pula sudah pasti dari PKR sendiri walau dalam keadaan terumbang-ambing dengan situasi ahli-ahli PKR yang keluar parti.
Pertembungan kenyataan antara komponen parti dalam PH Plus menyaksikan pihak pembangkang sekarang ini:
(1) Gagal menguruskan masalah dalaman.
(2) Gagal bekerja sebagai pembangkang yang baik kerana hilang fokus kerja.
(3) Maslahat rakyat bukan menjadi keutamaan dan kepentingan untuk diperjuangkan melainkan hanya isu perebutan kuasa.
Jika inilah situasinya, maka impak besar yang buruk bakal melanda ke atas rakyat jika PH Plus kembali menawan Putrajaya ditambah lagi rekod buruk mereka selama 22 bulan sebelum ini yang terlalu banyak konflik dan polemik.
‘Balasan’ kemaruk kuasa, lupa jasa
Kesemua pergolakan dalaman PH Plus termasuklah krisis dalaman PKR yang parah dengan keluarnya pimpinan dan ahli parti sepatutnya menjadi pengajaran kepada DSAI disebabkan sifat kemaruk kuasa beliau sejak dahulu.
Seawal kemenangan PH pada PRU14 yang lalu, dengan angkuhnya beliau berucap selepas keluar dari tahanan penjara untuk ‘merampas’ Kelantan dan Terengganu bagi ‘sapu bersih’ Malaysia. Ucapan sebegini membuatkan ahli PAS khususnya marah kerana ucapan tersebut jelas DSAI tidak mengenang jasa PAS yang menjadi ‘tempat berteduh’ sewaktu DSAI dipecat dahulu oleh Tun M. Malahan PAS sendiri memberi ruang pentas ceramah bagi menyampaikan pidato.
Tidak cukup itu, PAS bersama berhimpun dalam demonstrasi atas kediktatoran Tun M ketika itu atas semangat menolak kezaliman bukannya atas keperibadian. Selain itu, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempat menulis warkah dan dicetak buku dalam isu penjelasan Islam mengenai ‘qazaf’ agar tuduhan liwat dibicarakan dengan adil dan telus.
Kini, lihat apa yang berlaku:
(1) Calon PM antara komponen PH Plus berbelah bahagi disebabkan ada parti yang menyokong Tun M walau secara syarat yang ketat.
(2) Pimpinan dan ahli PKR keluar parti ekoran krisis tidak percaya pada DSAI dan pimpinan utama yang menjadi Kronisme.
(3) Terus ‘dipermain’ oleh Tun M. sejak dalam PH apabila Tun M tidak mengangkat kad sokongan ‘Anwar PM ke-2’ dan juga menyebabkan tempoh ‘persetujuan’ 2 tahun peralihan kuasa tidak berlaku kerana peletakan Tun M sekali gus bertukarnya kerajaan kerana hilang majoriti sokongan kalangan Ahli Parlimen.
Insafi dan ambillah pengajaran
Dalam Islam, perihal mengenai kuasa, jawatan, pangkat dan kedudukan ada diberikan perhatian dengan menekankan sifat:
(1) Jangan kemaruk dan meminta-minta.
(2) Pentingnya sifat amanah dan nilai kelayakan.
(3) Ia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, bukan untuk bermegah dan kebanggaan.
Amat mendengkelkan apabila kemaruk kuasa dan demi memperolehi kuasa, tindakan apa sahaja dilakukan demi tujuan memuaskan keinginan peribadi dengan:
(1) Melobi nama ulamak luar negara kononnya ‘rapat’ dan ‘disokong’.
(2) Berwatakkan ‘Plurasime’ dalam mendekati penyokong agama selain Islam.
Ingatlah Islam tidak menerima konsep Machiavelli dalam berpolitik kerana konsep ini seakan tiada ingatannya pada konsep dosa dan pahala. Tiadalah kekal sesuatu perjuangan politik itu melainkan jika teguhnya dasar dan prinsipnya. Kini, rakyat melihat hilangnya prinsip perjuangan PKR menerusi ‘semangat’ reformasi yang dilaung bergegar-gegar suatu ketika dahulu apabila melihat gabungan kerjasama politik Tun M dengan DSAI dalam pembentukan PH.
Sekalipun menang dalam PRU14 dan hanya seketika, renungkanlah mafhum dari peringatan Rasulullah S.A.W berkenaan jika seseorang itu meminta-minta jawatan dan ia perolehi maka Allah tidak akan membantunya, meninggalkannya. Namun jika ia tidak meminta-minta namun diberikan dan diamanahkan maka Allah akan beri bantuan kepadanya.
*USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMANPengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan