HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Jun 2020

'Kereta dibenar bawa penumpang bukan ahli keluarga'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Mulai hari ini, kereta persendirian dibenarkan membawa penumpang bukan ahli keluarga atau daripada rumah yang sama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, polisi bagi had bilangan penumpang turut dikekalkan bergantung kepada kapasiti kenderaan masing-masing.

"Mesyuarat khas menteri hari ini memutuskan untuk benarkan kereta persendirian membawa penumpang bukan ahli keluarga bermakna boleh membawa rakan sekerja atau kawan dan sebagainya.

"Sekarang kita benarkan mereka bawa penumpang yang bukan daripada keluarga dan rumah yang sama.

"Misalnya, jika ada yang ke pejabat secara 'pool' dalam satu kereta, ia kini dibenarkan," katanya dalam sidang media harian PKPP, di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, jumlah kenderaan di lebuh raya meningkat 100 peratus pada hari pertama pelaksanaan PKPP semalam susulan kebenaran perjalanan merentas negeri.

Sebagai contoh, katanya, jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) meningkat kepada 2.04 juta semalam berbanding 1.2 juta pada hari sebelumnya, manakala di Lebuhraya Karak, jumlahnya bertambah daripada 37,789 kepada 85,985 semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aliran trafik di semua lebuh raya dan kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh setiap pengguna yang pulang ke kampung.

"Jadi jangan bersesak-sesak di tandas awam, jangan bersesak-sesak di surau yang kita telah setuju untuk membukanya, begitu juga di gerai-gerai makan dan saya mengharapkan semua patuh SOP," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya memandu secara berhemah berikutan peningkatan kes kemalangan maut sejak perjalanan rentas negeri dibuka.

Tiada ulasan: