HALAMAN SANTAI

Khamis, 18 Jun 2020

Kita cantas apa yang patut - Anwar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketika kehangatan isu calon Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya hangat dibincangkan, Presiden PKR Anwar Ibrahim sempat mencuri masa berkebun.

Berkongsi di Twitter, beliau memuat naik beberapa gambar mencantas batang pokok buluh diiringi dengan kata-kata berikut:

"Seperti kebiasaan, petang ini meneruskan aktiviti berkebun. Kita cantas dan betulkan apa yang patut supaya suasana lebih bersih dan tersusun,"

Bagaimanapun, statusnya di media sosial dengan gambar mencantas batang pokok buluh itu ditafsir lain oleh warga maya.

“Ayat dalam... macam ada maksud tersembunyi,” kata seorang pengikut Twitter Anwar yang menggunakan nama @drrofaizal.

"Double meaning (ada maksud tersirat)...steady DSAI," kata pengguna akaun @advanceanalyst.

"Cantas dan betulkan. Ini bahasa aras tinggi ya amat," kata seorang lagi pengikut Twitternya, @iamthestamp.

 Dimuat naik pada pukul 4.32 petang tadi, setakat ini hantaran itu telah diulang ciap 240 kali dan menerima tanda 776 tanda 'suka'.

Hantaran itu di tengah-tengah usaha PH Plus - yang terdiri daripada PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Mahathir - dalam merampas kembali kerajaan persekutuan daripada Perikatan Nasional.

Bagaimanapun usaha itu dilihat berdepan kebuntuan apabila calon perdana menteri dan timbalan menteri belum dapat dimuktamadkan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata PKR telah melepasi tarikh akhir untuk menyatakan pendirian berkenaan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, dan menggesa parti itu berbuat demikian.

Katanya, parti-parti lain telah meneroka kombinasi Anwar-Mukhriz Mahathir. Bagaimanapun ia tidak dipersetujui Warisan yang membawa kepada pilihan kedua, iaitu kombinasi Mahathir-Anwar.

Anthony Loke

Mesyuarat terakhir adalah pada 9 Jun dan 13 Jun, yang menyaksikan gandingan terbaru Mahathir-Anwar disokong.

Loke mendakwa meskipun DAP dan Amanah lebih cenderung pada gabungan Anwar-Mukhriz, cadangan tersebut tidak dapat diteruskan kerana ahli parlimen lain mahukan Mahathir bersama Anwar.

Hari ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata PH tidak pernah mencadangkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, dan bekas perdana menteri itu mencalonkan dirinya sendiri - dengan sokongan Presiden Warisan Shafie Apdal - dalam mesyuarat PH Plus pada 13 Jun lalu.

Beliau turut mendakwa Mahathir mahu memimpin sekurang-kurangnya 12 bulan sebagai perdana menteri.

"Shafie pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi. (Mesyuarat berakhir setelah) Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan PH kekal dengan pendirian Anwar sebagai calon perdana menteri,” kata Saifuddin.

PKR dijangka mengadakan mesyuarat esok bagi memutuskan pendiriannya berkenaan perkara itu.

Tiada ulasan: